BATU GAJAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya mematahkan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi melibatkan 1,899 tong gas petroleum cecair (LPG) dalam serbuan di sebuah stor haram di Taman Perindustrian Bemban, dekat sini, pada Selasa.
Serbuan di premis yang dilakukan sekitar jam 6.30 petang itu adalah hasil risikan selama seminggu oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak di bawah Ops Gasak 2025.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamaluddin Ismail berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati stor haram berkenaan menjalankan aktiviti ‘decanting’, iaitu memindahkan gas LPG bersubsidi 14 kilogram (kg) kepada tangki penyimpan bagi kegunaan industri.
Katanya, hasil pemeriksaan juga mendapati premis itu juga tidak mempunyai dokumen sah untuk menjalankan urus niaga berkaitan barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“KPDN Perak mengambil tindakan dengan menyita 1,899 tong gas LPG 14kg dengan pecahan 871 merupakan tong berisi, dan selebihnya kosong.
“Selain itu, diangggarkan sebanyak 18,194kg gas petroleum cecair telah disita dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan RM66,508,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi serbuan di sini, pada Rabu.
Tong gas LPG bersubsidi dengan kapasiti 14 kg sepatutnya adalah untuk kegunaan isi rumah, sebaliknya tong 50kg adalah bagi kegunaan industri.
Mengulas lanjut Kamaluddin berkata, dalam serbuan sama, seorang lelaki tempatan yang juga pemilik premis berusia 53 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
Tambah beliau, lima lelaki warganegara Myanmar yang disyaki sebagai pekerja di stor haram itu turut ditahan, di samping kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta dan maksimum RM5 juta untuk kesalahan berulang,” jelas beliau.
Sementara itu Kamaluddin memberitahu, modus operandi sindiket tersebut dipercayai membeli tong gas subsidi 14kg daripada pemborong di sekitar Perak dan luar negeri, sebelum memindahkan kandungan gas tersebut ke tangki lain untuk dijual kepada pelanggan industri bagi tujuan komersial.
“Harga subsidi bagi LPG adalah sekitar RM1.90 sekilogram berbanding harga siling pasaran RM5 sekilogram.
“Sindiket ini meraih untung dengan menjual gas itu kepada pihak industri pada kadar sedikit lebih murah daripada harga pasaran tetapi jauh melebihi harga subsidi,” katanya
Jelas beliau, operasi kali ini juga antara yang terbesar pernah dijalankan melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi khususnya LPG di Perak.
“Sebelum ini, jumlah sitaan tertinggi melibatkan sekitar 463 tong gas, tetapi kali ini kita berjaya merampas hampir lima kali ganda jumlah tersebut,” ujar beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: