Amaran buat penganjur, peniaga tapak bazar Ramadan

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberi amaran kepada penganjur dan peniaga bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini supaya tidak menyewakan tapak niaga mereka kepada pihak lain.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak terlibat sepertimana yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurutnya, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk menyenarai-hitamkan penganjur dan peniaga yang tidak mengikut syarat-syarat bazar Ramadan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

“Dalam setahun dua ini tiada (tindakan diambil) tetapi sebelum ini pernah berlaku. Pada tahun 2022, kita pernah menerima aduan berhubung perkara tersebut serta kemudiannya bertindak memperketatkan syarat-syarat untuk penganjur dan peniaga,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Sesi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI 2024 di sini pada Jumaat.

Rumaizi berkata, MBI telah menyediakan 24 lokasi bazar Ramadan dengan 1,268 lot niaga melibatkan 1,128 peniaga yang diberi lesen untuk berniaga pada tahun ini.

Katanya, terdapat penambahan tapak bazar Ramadan antara lima ke 10 peratus pada tahun dengan kadar bayaran ditetapkan tidak melebihi RM750 termasuk sewa khemah, lesen dan pembersihan.

“Pengurusan bazar Ramadan ini dikendalikan penganjur terdiri daripada persatuan penjaja, koperasi usahawan, jawatankuasa masjid dan surau serta agensi swasta.

“Penganjur terbabit hanya mengenakan bayaran sehingga RM650 sahaja kepada peniaga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiga lokasi di Ipoh turut dipilih sebagai penganjuran bazar Ramadan Rahmah (BRR) di bawah seliaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak.

“Setakat ini, hanya satu bazar yang sudah ditetapkan lokasi di Taman Cempaka manakala dua lagi masih dalam peringkat akhir penilaian sebelum ia diputuskan dalam masa terdekat,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KPDN Perak sambut baik Bazar Ramadan Rahmah jika diteruskan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI