Ambil tindakan tegas pencerobohan dan operasi haram NR-REE – Sultan Nazrin

IPOH – Perbuatan ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ jika berlaku dalam kalangan pegawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan peneroka haram, hendaklah segera disiasat, dikenal pasti dan diambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, pencerobohan dan operasi secara haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) haram akan menyebabkan ketirisan hasil negeri.

Titah Sultan Nazrin, tindakan itu akan menyebabkan berlakunya aktiviti perlombongan tidak terkawal dan tidak mengikut garis panduan yang dibimbangkan berpotensi memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan masyarakat.

“Tindakan tegas dan pantas perlu diambil oleh agensi-agensi penguat kuasa terutama oleh Jabatan Perhutanan,” titah baginda sewaktu Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.

Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Titah Sultan Nazrin, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Negeri Perak, menganggarkan terdapat 1.69 juta tan metrik deposit NR-REE di negeri Perak dengan anggaran nilai RM40 bilion.

Baginda bertitah, pelaksanaan projek perintis di kawasan seluas 88 hektar, telah menghasilkan pengeluaran hampir 6,200 tan metrik karbonat REE.

“Berdasarkan 12 peratus royalti yang dikenakan daripada harga jualan, Kerajaan Beta telah memperoleh kutipan royalti berjumlah RM25.2 juta ringgit bagi tahun 2023.

“Dalam tahun 2024, Kerajaan Beta menyasarkan perolehan royalti melalui sumber mineral baharu ini akan mencecah lima puluh juta ringgit,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menitahkan supaya potensi NR-REE tidak harus bertumpu kepada pengeluaran dan pengeksportan sumber mentah semata-mata.

“Kerajaan Beta kini berusaha merintis pembangunan ‘Loji Pemprosesan Pusat’ (Central Processing Plant-CPP) di peringkat sektor industri pertengahan dan pembangunan kilang-kilang berteknologi tinggi di peringkat sektor industri hiliran, bertujuan meningkatkan nilai harga pasaran bahan mineral berkaitan.

“Beberapa lokasi strategik, dikenal pasti untuk pembangunan Loji Pemprosesan Pusat.

“Dalam usaha merintis membangunkan industri pertengahan dan hiliran, Kerajaan Beta bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan.

“Di samping merintis usaha menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat yang memiliki kepakaran dan teknologi khusus,” titah baginda. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak rancang bangunkan makmal NR-REE di Simpang Pulai

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI