Amirul Zazwan keluar zon selesa, sedia galas cabaran baharu bersama Perak Bison

IPOH – Keputusan menyertai Perak Bison membuka lembaran baharu buat pemain apit kiri kebangsaan, Amirul Zazwan Amir atau Ayong, yang memberanikan diri keluar dari zon selesa untuk menghadapi saingan Liga Sepak Takraw (STL).

Perpindahan itu menyaksikan Amirul Zazwan buat pertama kali dalam kariernya menyarung jersi pasukan selain Kuala Lumpur (KL) Thunder selepas sekian lama setia beraksi bersama pasukan berkenaan.

Kehadirannya dalam skuad Perak Bison adalah bagi mengisi kekosongan posisi apit kiri yang ditinggalkan Aidil Aiman Azwawi, yang berhijrah ke Terengganu Turtles.

Mengulas mengenai penghijrahan itu, Amirul Zazwan mengakui peluang beraksi bersama Perak Bison merupakan cabaran baharu yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin selepas sekian lama beraksi di negeri sendiri.

“Saya bersyukur sebab dapat keluar daripada zon selesa dan cuba terima cabaran yang baru untuk bermain di negeri orang kerana ini adalah kali pertama saya keluar.

“Selain itu, saya berharap dapat bermain dengan sangat baik dan terima kasih diucapkan kepada pengurusan Perak Bison yang dapat menerima kehadiran saya dengan baik,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Rasmi Perak Bison 2026 yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Sentra Mall di sini hari ini.

Amirul Zazwan keluar zon selesa, sedia galas cabaran baharu bersama Perak Bison
Pemain sepak takraw negeri Perak, Amirul Zazwan Amir pada Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Rasmi Perak Bison 2026 di Sentra Mall, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 OKTOBER 2026.

Dalam pada itu, cabaran utama buat Amirul Zazwan adalah menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu selain membina keserasian bersama rakan sepasukan bagi memastikan Perak Bison mampu mengekalkan kejuaraan.

Pada masa sama, beliau turut berharap seluruh pemain dan pengurusan dapat berganding bahu serta bersatu hati bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap sepanjang mengharungi saingan STL.

Perak Bison menjuarai STL 2025 selepas mempamerkan aksi konsisten dalam kesemua enam pusingan Grand Prix dengan memungut 136 mata mengatasi Kuala Lumpur Thunders, 130 mata dan Melaka Titans 128 mata.

Sementara itu, Amirul Zazwan turut bersyukur kerana penantian selama 36 tahun untuk menghadiahkan pingat emas acara regu berpasukan lelaki kepada Malaysia di pentas Sukan Asia akhirnya tercapai.

Katanya, pencapaian bersejarah itu turut melengkapkan koleksi kejayaannya di pentas antarabangsa selepas sebelum ini membantu skuad negara meraih pingat pada temasya Sukan SEA.

Tambahnya, kejayaan tersebut hadir hasil kerjasama erat dan keserasian yang dibina dalam kalangan pemain skuad negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini serta mampu menjadi asas kepada pencapaian lebih besar skuad sepak takraw negara pada masa akan datang,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak Bison sasar empat terbaik STL 2025

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI