IPOH – Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dakwaan menendang, menampar dan memukul isterinya menggunakan bakul pada Mei lalu.
Tertuduh, Mohd Zulhazree Razali, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret S Punitha.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan terhadap Nur Atirah Suhana Che Razak, 29, dengan menendang, menampar dan memukul menggunakan bakul.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Persiaran Hulu Bercham 8, Bandar Baru Putra, Ipoh pada pukul 7 pagi, 9 Mei tahun ini.
Pendakwaan terhadap anggota polis berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Mengikut Seksyen 323, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan manakala bagi Seksyen 326A, dia boleh dikenakan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 323.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Syahmi Amran.
Terdahulu, Vatchira Wong menawarkan jaminan RM5,000 terhadap Mohd Zulhazree dengan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa.
Sementara itu, peguam tertuduh, Ahmad Syahmi memohon supaya anak guamnya itu dilepaskan dengan jaminan minimun RM2,000.
Beliau turut memaklumkan tertuduh perlu menanggung empat anak berusia antara lima hingga 10 tahun yang masih bersekolah .
Katanya, anak guamnya itu memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan dan tidak akan melarikan diri sekiranya diberi ikat jamin.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh selain menetapkan syarat tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Januari depan sebagai sebutan semula kes. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga lelaki pukul pengadil pada perlawanan bola sepak PBT dikenal pasti