IPOH – Kerajaan Negeri Perak bersiap siaga bersama agensi berkaitan bagi menghadapi fenomena Super El Nino yang dijangka menyebabkan cuaca panas dan kering yang dijangka akan berterusan hingga awal 2027.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), agensi teknikal seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Lembaga Air Perak (LAP) memantau dan melaporkan ramalan cuaca semasa dan paras air di empangan utama khususnya di Empangan Bukit Merah dan Empangan Sultan Azlan Shah secara berterusan.
Menurutnya, pada masa sama, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) secara berkala di setiap lokasi berisiko bagi membolehkan amaran awal dikeluarkan dengan pantas.
“LAP telah mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan pelan mitigasi berperingkat merangkumi pengoptimuman operasi Loji Rawatan Air (LRA), pengezonan semula bekalan, mobilisasi lori tangki air, penempatan tangki statik dan penggunaan sumber air alternatif.
“Selain itu, LAP telah mengemukakan permohonan peruntukan RM2.4 juta kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi tindakan mitigasi kawasan terjejas serta bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi mekanisme war room bagi mengurus sebarang risiko krisis air secara proaktif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri turut tertumpu kepada pengurusan pengagihan sumber air secara cekap melalui infrastruktur pengairan utama dan mobilisasi pam-pam bergerak bagi tujuan kitar semula air.
Katanya, bagi kawasan pertanian berstruktur seperti Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak, pemantauan ketat dijalankan memandangkan kebergantungan kepada sistem pengairan aliran graviti yang terkesan apabila paras air menyusut.
“Sekiranya keadaan semakin kritikal, JPBN dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) dan MetMalaysia bersedia menyelaraskan operasi pembenihan awan di kawasan takungan sasaran,” ujarnya.
Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak pula mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) dan Pelan Tindakan Operasi Kebakaran Tanah Gambut menerusi rondaan harian waktu siang, malam, dan cuti umum di lokasi hotspot.
“JAS turut bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan tiada pembakaran terbuka yang memburukkan kualiti udara dan indeks pencemaran,” jelasnya, – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak cadang wujud tabung khas bantu sektor terjejas bencana


