Anggota tentera maut tercampak dari jejambat, timpa motosikal lain

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Tentera Darat Malaysia maut selepas tercampak dari atas sebuah jejambat pada ketinggian kira-kira lima meter, sebelum menimpa seorang penunggang motosikal di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata dalam kejadian kira-kira 8.00 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Bukit Jalil ke tempat kerja di Kem Sungai Besi.

Beliau berkata ketika melalui susur jejambat berhampiran TBS untuk membuat pusingan U, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave, dipercayai hilang kawalan sebelum tercampak ke jalan raya di bawah, manakala motosikalnya tertinggal di atas jejambat.

“Mangsa yang tercampak telah menimpa seorang lelaki berusia 46 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Vario dari arah Cheras menghala ke Sungai Besi, menyebabkan kedua-duanya terjatuh di atas jalan raya.

“Pada masa sama, sebuah lori dipandu lelaki berusia 46 tahun cuba mengelak kedua-dua mangsa, namun tidak sempat lalu melanggar motosikal Honda Vario tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata akibat kemalangan itu, anggota tentera berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata penunggang Honda Vario itu pula mengalami patah tangan kiri, kecederaan di muka serta pendarahan di kepala dan telah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan lanjut.

Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat, diminta tampil menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI