ATM jalani penstrukturan semula, bina ‘angkatan masa hadapan’

LUMUT – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pelan strategi baharu akan menjalani penstrukturan semula menjadi sebuah ‘angkatan masa hadapan’ dengan kredibiliti yang menepati kemajuan teknologi, cabaran masa depan dan ekspektasi rakyat.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata penstrukturan itu selaras dengan Pelan Strategi Ketenteraan Negara 2.0 yang dijadikan sebagai dokumen strategi tertinggi ATM.

“Umum mengetahui bahawa Kertas Putih Pertahanan yang diluluskan Kerajaan pada 2 Disember 2019 menetapkan dengan jelas hala tuju strategik pertahanan negara sehingga tahun 2030 dalam mempertahankan kedaulatan negara, keutuhan wilayah dan kepentingan Malaysia.

“Komponen terpenting bagi tonggak strategi pertahanan atau cegah rintang berpadu kini giat dilaksanakan dalam membina angkatan masa hadapan sebagai perisai negara yang berpaksi kepada postur bersepadu, tangkas dan berfokus,” katanya.

Beliau berkata demikian Ketika berucap pada Sambutan Hari ATM ke-90, di Jeti Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut, di sini, pada Selasa.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Dalam pada itu, Mohammad berkata keupayaan ketiga-tiga perkhidmatan akan dipertingkatkan secara holistik dan berpegang kepada trilogi 3M, iaitu man, machine and method.

“Saya, dibantu oleh panglima-panglima perkhidmatan yang dilihat sebagai penjana keupayaan daya tempur menerusi konsep raise, train and maintain.

“Manakala, panglima angkatan bersama selaku nadi tempur kepada aplikasi tindak balas ketenteraan melalui kaedah operate and sustain,” ujarnya.

Karnival Hari ATM 2023 di Pangkalan TLDM Lumut yang berlangsung dari 13 hingga 15 Oktober bakal menyaksikan pelbagai aktiviti serta pameran melibatkan cabang Darat, Laut dan Udara dalam ATM.

Pada hari ini, penonton disajikan dengan Perbarisan Tempur Statik membabitkan 30 pegawai dan 306 anggota lain-lain pangkat daripada empat kontinjen terdiri daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan dan Gabungan Pasukan Khas.

Segmen Demonstrasi Keupayaan ATM turut dipertontonkan untuk memperlihatkan kompetensi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM serta keupayaan aset iaitu kenderaan perisai AV8 Gempita, kenderaan berperisai berantai ACV 300 Adnan, kenderaan pelancar roket Igla SLU, kenderaan pelancar roket Astros II dan helikopter Agusta LOH A109.

Aset lain yang terbabit adalah helikopter MD 530G, Supacat ATMP, kenderaan pengangkut senjata VAMTAC S3 MK 19 dari TDM, helikopter AW 139 (HOM), helikopter Super Lynx, helikopter Fennec, Fast Combat Boat (FCB) dan Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB). -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI