IPOH – Deretan air balang 40 jenis pelbagai variasi perisa mewarnai gerai Ayor Akak antara yang mencuri tumpuan pengunjung di Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) di Meru Raya di sini.
Nama yang diberikan bagi setiap jenis air juga cukup unik antaranya, ayor sia-sia pengorbanan (buah naga), ayor bohongi hati (cha ba ang), ayor penjaga hati (epal asam boi) dan ayor rumah singgah (cappuccino).
Pemilik gerai Ayor Akak, Noor Aziah Yaakub, 53, berkata, nama air tersebut adalah cetusan idea anak bongsunya.
“Penceritaannya (nama air) ada setengah daripada lagu, ada setengah daripada cerita, ada setengah itu ilham datang masa dia (anak bongsu) tengah duduk termasuk idea untuk menjual air 40 jenis.
“Kami sudah berniaga di bazar Ramadan ini sejak ia mula dibuka sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui MG Perak di BSAS di sini baru-baru ini.
Menurutnya, daripada 40 jenis air balang yang dijual, 10 daripadanya menjadi pilihan pelanggan dan ayor menjaga jodoh orang lain atau lebih terkenal dengan nama panggilan ‘air sampah’ (mojito) antara yang terlaris.
“Di sini ada bermacam-macam (air) tapi yang selalunya yang betul-betul habis adalah ‘air sampah’ (air mojito). Letak sahaja pasti habis. Selain itu, kopi ais dan cappuccino juga antara kegemaran pelanggan.
“Dari segi harga, untuk cawan kecil cuma RM4 manakala bagi cawan besar dan bungkusan plastik, harganya RM5. Harga ini amat berpatutan dan mampu dibeli oleh semua golongan.
“Kita juga ada jual nasi murah dengan harga RM5, yang mempunyai lauk ayam masak lemak, ulam sambal dan kita turut memberikan bubur lambuk secara percuma kepada pelanggan yang awal,” ujarnya.
Dia yang sebelum ini menjalankan perniagaan kedai makan berkata, hasil jualan air tersebut sangat memberangsangkan terutamanya pada cuti hujung minggu.
“Sambutan yang diberikan pelanggan amat menggalakkan kerananya air yang dijual akan habis sebelum jam 7 malam.
“Pada hari biasa, kita akan menjual sekitar 600 hingga 700 cawan namun ia boleh mencecah lebih 1,000 cawan pada hari minggu,” katanya yang mengusahakan jualan air balang ini bersama anak, menantu dan pekerja.
Noor Aziah berkata, air balang yang tidak habis dijual akan diberikan kepada masjid sebagai minuman bagi berbuka puasa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Peniaga bazar Ramadan jamin makanan disediakan bersih, selamat