Bangkai ikan di Sungai Kinta disyaki dibuang dari kolam ternakan

IPOH – Penemuan lebih 100 ekor bangkai ikan di Sungai Kinta di sini, baru-baru ini, dipercayai berpunca daripada pembuangan ikan ternakan yang telah mati ke dalam sungai, dan bukan disebabkan pencemaran air.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Teh Kok Lim berkata, siasatan yang dijalankan Jabatan Perikanan Perak dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Perak mendapati kualiti air sungai tersebut berada dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini pihak berkuasa masih belum dapat mengenal pasti individu atau pihak yang bertanggungjawab membuang ikan-ikan tersebut ke dalam sungai berkenaan.

“Ikan-ikan yang ditemui mati itu bukan berasal dari habitat asal sungai, sebaliknya ikan ternakan jenis tilapia hitam yang dipercayai dibuang secara sengaja.

“Tapi buat masa ini kita masih tidak dapat mengesan siapa yang melakukan kerja yang tidak bertanggungjawab ini.

“Justeru, saya meminta kerjasama semua pihak supaya sekiranya mereka menghadapi masalah, jika ikan ternakan mereka mati, mereka seharusnya menjalankan kerja-kerja untuk menanam dan membuang (ikan). Jangan membuang merata-rata, ini satu tanggungjawab.

“Jangan jadikan sungai sebagai tapak pelupusan kerana ia akan memberi kesan yang buruk kepada semua lapisan masyarakat, khasnya mereka yang berada di muara sungai itu jika berdepan masalah mendepani masalah ini,” katanya.

Bangkai ikan ditemukan di Sungai Kinta disyaki dibuang dari kolam ternakan
Foto tular.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Aktiviti Pembersihan Sungai Sempena Program Grand Prix Memburu Ikan Asing Siri 1/2025 Negeri Perak di Dataran Taman D R Seenivasagam di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap.

Dalam perkembangan sama, Mohd Ghazali berkata, siasatan mendapati saiz ikan yang mati adalah seragam serta dipercayai datang daripada satu sumber ternakan yang sama.

“Saiz ikan itu seragam, jadi kita syaki bukan ikan dalam sungai itu, sebab ikan asal masih hidup lagi. Kita syak daripada kolam ternakan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kuantiti ikan yang dibuang juga boleh mencetuskan risiko lebih besar sekiranya punca kematian berpunca daripada wabak penyakit.

“Bergantung kepada kuantiti, takut kalau penyakit, mungkin dia akan merebakkan penyakit ke dalam sungai dan memberi kesan kepada ikan. Sebab itu kita keluarkan cepat-cepat ikan tu supaya tidak pergi ke tempat yang lain. Semua sudah dikeluarkan,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

BDIFIP berpotensi kekal Perak penyumbang utama perikanan negara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI