Bazar Ramadan mesra alam dijangka diperluas ke seluruh Perak

IPOH – Konsep Bazar Ramadan Mesra Alam yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada tahun lalu dijangka akan diperluaskan di pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Perak.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kerajaan negeri bercadang untuk memperluaskan bazar berkenaan selepas sambutan yang diberikan amat menggalakkan pada tahun lalu.

Menurutnya, menerusi bazar ini, pengunjung digalakkan untuk membawa bekas makanan sendiri dan peniaga pula digalakkan untuk menggunakan bungkusan makanan jenis biodegradasi.

“Aktiviti kutipan minyak masak terpakai dari semua peniaga bazar Ramadan untuk dijadikan biofuel turut dilaksanakan bersama syarikat rakan strategik MBI.

“Jumlah kutipan minyak masak terpakai pada bazar Ramadan tahun 2023 adalah sebanyak  491.58 kilogram (kg) bernilai RM1,474.74.

“Manakala, bagi keseluruhan kawasan MBI sebanyak 230 metrik tan minyak masak terpakai dikutip bernilai RM705,640 dengan pengurangan 9,195.4 kg karbon dioksida (CO2),” katanya.

Bazar Ramadan mesra alam dijangka diperluas ke seluruh Perak
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching menyampaikan bekas makanan kepada pengunjung ketika meninjau Bazar Ramadan Stadium Perak di Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 MAC 2024.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Stadium Perak dengan mengedarkan 100 bekas makanan kepada pengunjung serta pemberian apron kepada peniaga di bazar tersebut, hari ini.

Dalam pada itu, Shy Ching berkata, menerusi ekonomi kitaran yang dilaksanakan, banyak syarikat sudah mula mengambil pendekatan untuk bekerjasama dengan PBT bagi menjalankan kutipan minyak masak terpakai.

“Selain itu, bahan kitar semula lain seperti fabrik dan sebagainya turut dilaksanakan. Justeru, kita akan terus berusaha dalam memperkasakan ekosistem ekonomi kitaran.

“Aktiviti ini bukan sahaja mengurangkan membebankan tapak pelupusan sampah dan kepada alam sekitar selain membantu rakyat biasa untuk menjana sedikit sebanyak pendapatan daripada ekonomi kitaran. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MBI tawar 1,310 petak niaga di 19 lokasi Bazar Ramadan 2024

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI