Beberapa ajaran sesat dikesan sekitar Perak – Saarani

IPOH – Kerajaan negeri Perak telah mengenal pasti kewujudan beberapa kegiatan ajaran sesat yang dipercayai beroperasi di daerah sekitar negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kegiatan itu dikesan menerusi penyelidikan yang dijalankankan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk).

Menurutnya, pihaknya memang ada memantau beberapa lokasi yang dipercayai ada mengamalkan unsur-unsur ajaran sesat dan dilihat menyimpang daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Ia (ajaran sesat) di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kita tidak menghebohkan apa kita sedang buat.

“Kegiatan ajaran sesat itu tidak boleh dihebahkan kepada umum kerana dibimbangi mereka yang berselindung melarikan diri.

“Jadi sebab itu kita buat secara hikmah, secara rahsia dan saya tak dapat menafikan bahawa memang ada (ajaran sesat),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-61 Persekutuan Seruan Islam Perak (Jam’iyah Perak) di Dewan Tun Razak, Kompleks Persekutuan Seruan Islam Perak di sini, pada Sabtu.

Beberapa ajaran sesat dikesan sekitar Perak - Saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke 61 Persekutuan Seruan Islam Perak (JAM’IYAH Perak) di Kompleks Persekutuan Seruan Islam Perak, Ipoh.
Foto: Aniq Nabilafiq Anuar

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, selain pemantauan, Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) turut menjalankan siasatan terhadap mereka yang terlibat dengan kegiatan ajaran sesat.

“JAIPk akan buat kajian, memantau dan sebahagian mereka ditemuduga. Setelah ada kelihatan unsur-unsur ajaran sesat itu maka mereka akan buat laporan kepada pihak lebih atas,” ujarnya.

Sementara itu, menyentuh isu Global Ikhwan Services dan Business Holdings (GISBH) beliau berkata, perkara tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, media melaporkan JAIPk bekerjasama dengan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani gerakan ajaran sesat Millah Abraham yang dikesan di sebuah daerah di negeri ini.

Pengarahnya, Harith Fadzilah Abdul Halim, berkata ketika ini, pemantauan dan siasatan masih dijalankan terutama bagi mengenal pasti pengikut ajaran terbabit serta modus operandi mereka dalam menyebarkan fahaman sesat berkenaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Isu GISBH: Saarani akan menghadap Sultan Perak dalam masa terdekat

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI