Belanjawan 2027 dirangka berteraskan Ekonomi MADANI, RMK13 dan NETR – Amir

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang giat memperincikan penyediaan Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini berpandukan kerangka Ekonomi MADANI serta beberapa dasar utama negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pasukan di Kementerian Kewangan (MOF) bersama kementerian-kementerian lain kini sedang memberi tumpuan penuh kepada proses penyediaan belanjawan yang memerlukan penelitian dan perancangan rapi.

Menurut beliau, proses tersebut mengambil masa yang panjang bagi memastikan setiap dasar yang dirangka selari dengan hala tuju pembangunan negara.

“Seperti biasa, usaha menyediakan belanjawan mengambil masa yang lama dan perlu diselaraskan dengan dasar-dasar kerajaan.

“Kita menggunakan kerangka Ekonomi MADANI sebagai struktur paling penting dalam merangka hala tuju ekonomi negara termasuk usaha meningkatkan siling dan lantai ekonomi sebagai dua petanda utama pembangunan,” katanya kepada sidang media pelancaran BUDI Diesel hari ini.

Bagaimanapun, Amir Hamzah enggan mendahului pengumuman kandungan Belanjawan 2027 kerana proses penyediaannya masih berjalan.

“Saya tidak mahu mendahului pembentangan belanjawan. Yang penting, pendekatan yang kita gunakan adalah konsisten berasaskan kerangka Ekonomi MADANI.

“Segala polisi yang telah diumumkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menjadi panduan kepada tindakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus melaksanakan dasar yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah mencapai status negara maju dan berdaya tahan.

“Kita akan terus membangunkan negara ke arah menjadi sebuah negara yang lebih membangun dan berdaya saing,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI