IPOH – Penjaja kecil di negeri ini berharap lebih banyak peruntukan dan bantuan diberikan kepada mereka dalam mendepani cabaran ekonomi yang tidak menentu melalui Belanjawan Perak 2025 yang akan dibentangkan hujung November ini.
Penjual sayur-sayuran, Muhd Arfandi Carianto, 33, berkata, antaranya dia berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula kadar lesen perniagaan yang disifatkan agak memberi kesan kepada mereka.
“Selepas pandemik COVID-19, kadar lesen dikenakan kepada peniaga termasuk penjaja kecil adalah sekitar RM200, kemudian diturunkan kepada RM180.
“Dan untuk itu, saya berharap dalam Belanjawan Negeri Perak 2025, kadar berkenaan dapat diturunkan demi membantu meringankan beban,” katanya ketika ditemui MG Perak, di sini, pada Isnin.
Di samping itu Muhd Arfandi juga berharap, agar peruntukan bagi bantuan modal perniagaan kepada peniaga baru dapat terus dilaksanakan.
Bagi penjaja makanan, Syamsol Abdul Sani, 54, hal berkenaan ketidaktentuan harga barang mentah di pasaran masa kini menjadi antara isu pokok yang menghambat penjaja kecil sepertinya.
Justeru, bapa kepada 10 cahaya mata itu meminta agar kerajaan negeri dapat mencari solusi atau kaedah tepat melalui Belanjawan Negeri 2025 dalam membantu mereka meneruskan kelangsungan mata pencarian.
“Perniagaan seperti di pasar malam tidak semeriah seperti sebelum-sebelum ini dan ketidaktentuan harga barang menjadi salah satu faktor kepada perkembangan itu.
“Justeru, saya berharap agar bantuan seperti bantuan tunai sekali beri dapat diwujudkan khas kepada peniaga dan penjaja kecil,” jelasnya.
Tambah Syamsol, kerajaan negeri juga diminta untuk melihat secara serius kepada isu kesukaran memperoleh bekalan bahan mentah di pasaran.
“Bekalan seperti gula makin sukar untuk diperoleh sejak akhir-akhir ini. Malah ada kedai meletakkan syarat hanya boleh beli dua paket gula sahaja.
“Kami juga berhadapan dengan masalah memperoleh bekalan minyak masak paket. Disebabkan itu, kami terpaksa membeli minyak masak botol yang mana harganya lebih tinggi,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga makanan, Nor Azian Alias, 56, turut senada apabila memberitahu kenaikan kos bahan mentah terpaksa ditanggung demi meneruskan perniagaan yang menjadi punca rezeki membesarkan keluarga.
“Sebagai peniaga, kami tidak boleh menaikkan harga barang (sewenang-wenangnya). Maka disebabkan itu, segala kos tambahan terpaksa kami tanggung. Peniaga dan penjaja kecil seperti saya memang terkesan dengan perkara ini,” katanya.
Oleh itu, dia yang sudah berniaga kira-kira 30 tahun menzahirkan harapan untuk kerajaan negeri dapat mewujudkan insentif khas buat peniaga dan penjaja kecil di Negeri Perak melalui belanjawan negeri yang akan dibentangkan.
Belanjawan Negeri Perak 2025 dijangka akan dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada hujung November ini.
Pada pembentangan Belanjawan Negeri 2024, Perak memperuntukkan RM1.3 juta kepada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) sebagai usaha menyokong pembangunan usahawan termasuk belia.
Selain itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan kerajaan negeri melalui inisiatif Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang bertujuan memperkasakan gerakan koperasi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2024: RM1.3 juta untuk STeP sokong usahawan