Belanjawan Perak 2024: RM1.3 juta untuk STeP sokong usahawan

IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta kepada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) sebagai usaha menyokong pembangunan usahawan termasuk usahawan belia.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menerusi peruntukan itu, antara program yang dirancang adalah Jelajah Hari Usahawan dan Koperasi Negeri Perak 2024.

Katanya, penganjuran program berkenaan bertujuan membantu seramai mungkin usahawan dan koperasi mendapat maklumat serta menerima bantuan daripada pelbagai agensi.

“Antara program lain yang turut dirancang adalah meneruskan Geran Usahawan Perak (GeRAK) serta Program Perak Road To Export iaitu program bimbingan dan bantuan bersepadu bagi membantu usahawan baharu meluaskan pasaran dalam dan luar negara.

“Di samping itu, turut dirancang adalah pelaksanaan program pendigitalan usahawan Perak bagi membantu usahawan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) menggunakan platform digital dan atas talian untuk meningkatkan kecekapan perniagaan dan jualan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2024 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, pada Jumaat.

Tambah Saarani, kerajaan negeri juga akan memperkenalkan inisiatif baru bagi memperkasakan gerakan koperasi bermula tahun hadapan iaitu Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan dana RM1 juta.

Katanya, inisiatif berkenaan bagi tujuan pelaksanaan beberapa program antaranya bantuan pengurusan untuk tujuan ‘start up’ atau syarikat pemula serta bantuan pemulihan bagi koperasi berstatus tidak aktif yang memenuhi syarat.

“Selain itu, turut melibatkan program pengupayaan Koperasi ‘Anchor’ sebagai penghargaan kepada koperasi yang berjaya di Perak.

“Ia mewujudkan penanda aras koperasi global dan jaringan perniagaan antarabangsa, padan niaga, kerjasama strategik dan ‘mentoring coaching’; serta program pengupayaan, latihan dan pengembangan kemahiran khusus berkaitan keusahawanan,” katanya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2024 RM1.35 bilion tertinggi dalam sejarah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI