Belanjawan Perak 2024 RM1.35 bilion tertinggi dalam sejarah

IPOH – Kerajaan Negeri Perak membentangkan Belanjawan Perak 2024 berjumlah hampir RM1.35 bilion, tertinggi dalam sejarah dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM856 juta dan pembangunan RM491 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, belanjawan yang bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ itu merangkumi lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan, kelestarian alam sekitar, keterjaminan bekalan makanan serta pembangunan modal insan dan belia.

Menurut beliau, pelaksanaan Belanjawan Perak 2024 dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1.28 bilion yang terdiri daripada hasil cukai (RM657.7 juta), hasil bukan cukai (RM392.2 juta), dan terimaan bukan hasil (RM192.6 juta) dan terimaan pembangunan RM37.0 juta.

“Jumlah Hasil yang terdiri daripada hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil berjumlah RM1.24 bilion, iaitu peningkatan RM108.9 juta (9.6 peratus) berbanding sasaran tahun 2023.

“Manakala Anggaran Terimaan Pembangunan Tahun 2024 meningkat kepada RM37 juta berbanding RM25.4 juta pada tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak RM11.6 juta (45.7 peratus) berbanding tahun 2023,” katanya dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2024 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata, perbelanjaan pembangunan 2024 ditokok dengan jumlah yang besar iaitu RM96 juta (24.3 peratus) berbanding Belanjawan Tahun 2023.

Ujar beliau, peningkatan tersebut bagi memenuhi keperluan yang perlu dibelanjakan demi manfaat rakyat disokong kedudukan kewangan kerajaan negeri yang semakin mengukuh.

“Jumlah belanja bagi maksud Pembangunan RM491 juta merupakan jumlah tertinggi yang yang pernah diperuntukkan oleh kerajaan negeri.

“Daripada unjuran hasil dan perbelanjaan tersebut, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 dijangka ditutup pada kadar defisit RM67.5 juta,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tema Belanjawan Perak 2024, Saarani berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk mengekalkan tema ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ bagi menjamin kesinambungan pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030.

Beliau berkata, perspektif kerajaan negeri menerusi Perak Sejahtera 2030 melihat kepada kesejahteraan sosial untuk mengubah dan menjamin kesejahteraan individu dan masyarakat bagi meningkatkan kualiti serta tahap kepuasan kehidupan rakyat Perak dari aspek rohani dan jasmani.

Beliau berkata, justeru itu, dalam usaha memastikan kesejahteraan sosial rakyat terpelihara, pada 2024 kerajaan negeri menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 akan menumpukan kepada pelaksanaan projek atau program berpaksikan rakyat yang bermatlamatkan Sejahtera Sosial.

“Dua belas tema keberhasilan, iaitu Keselamatan Awam, Perumahan, Asas Kemasyarakatan, Pendidikan, Alam Sekitar dan Amalan Teknologi Hijau, Prasarana, Seni Budaya dan Warisan, Belia, Wanita, Keluarga, Warga Emas dan Orang Kurang Upaya, diletakkan di bawah sasaran Sejahtera Sosial dalam Perak Sejahtera 2030,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Perak dijangka bentang belanjawan negeri berjumlah RM1.5 bilion

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI