Kewangan Perak mengukuh, rekod hasil RM1.05 bilion setakat November

IPOH – Kedudukan kewangan Perak terus mengukuh apabila merekodkan kutipan hasil sebanyak RM1.05 bilion setakat 25 November 2023, menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata, Kerajaan Negeri Perak yakin dapat mengatasi sasaran kutipan hasil RM1.28 bilion yang ditetapkan bagi tahun ini.

“Seiringan dengan itu, aliran tunai serta perbelanjaan yang dirancang berjalan dengan lancar dan pentadbiran ini optimis untuk sekali lagi menutup akaun dalam kedudukan surplus bagi dua tahun berturut-turut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pembentangan Belanjawan Perak 2024 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Jumaat.

Menurut Saarani, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perak bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 juga menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan peningkatan hasil yang ketara iaitu RM1.09 bilion.

Beliau berkata, ia sekaligus mengulangi pencapaian melebihi angka satu bilion yang pernah direkodkan pada tahun 2019.

“Sehubungan itu, sukacita saya memaklumkan kepada dewan yang mulia ini, belanjawan defisit yang disediakan bagi tahun 2022 telah berjaya ditutup pada kedudukan surplus RM29.6 juta.

“Namun, saya mengingatkan diri saya dan kita semua supaya tidak mengambil sikap mudah berpuas hati dan segala usaha dan kudrat daripada semua warga pentadbiran kerajaan negeri akan terus digembleng bagi menjayakan projek-projek berimpak tinggi dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, sektor pelaburan akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri seiring dengan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) baru-baru ini melaporkan, sejak tahun 2018 sehingga Jun tahun ini, Perak memperoleh pelaburan direalisasikan bernilai lebih RM22.3 bilion merangkumi pelaksanaan 283 projek pembuatan yang telah mewujudkan lebih 22,000 peluang pekerjaan,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2024 RM1.35 bilion tertinggi dalam sejarah

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI