Belanjawan Perak 2024: RM21.2 juta untuk TMP 2024

IPOH – Sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM21.2 juta bagi memberi pengalaman pelancongan yang terbaik di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bertemakan Promising Perak, seramai lapan juta pelancong di Perak disasarkan bagi mengaktifkan semula aktiviti pelancongan sebagai destinasi utama yang kompetitif dalam segmen eko pelancongan, kebudayaan, warisan dan gastronomi.

Menurutnya, merujuk Tinjauan Pelancongan Domestik Tahun 2022, Perak kekal menjadi tumpuan pelancong dan menduduki tempat kedua dengan bilangan pelancong domestik seramai 6.9 juta orang.

“Laporan Hotel Guest 2022 oleh Tourism Malaysia pula, kemasukan pelancong antarabangsa menunjukkan peningkatan iaitu 333,306 orang yang berkunjung ke negeri ini dengan kenaikan 7,219 peratus berbanding tahun 2021.

“Antara perancangan program yang dijalankan bagi menjayakan TMP 2024 termasuklah penyertaan program pameran pelancongan domestik dan antarabangsa bagi mempromosikan produk-produk pelancongan di negeri ini.

“Selain itu, sesi padanan perniagaan antara pengusaha pelancongan dan penggiat pelancongan; familiarization-trip dan cetakan bahan promosi serta papan iklan di lokasi strategik turut dimasukkan dalam promosi tersebut,” katanya dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2024 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Jumaat.

Saarani berkata, di bawah peruntukan tersebut yang sebanyak RM10 juta disalurkan kepada Tourism Perak iaitu peningkatan RM3 juta berbanding tahun 2023.

“Sejumlah RM7 juta caruman bayaran balik ke dalam Akaun Amanah bagi pendahuluan pelaksanaan Projek Infrastruktur Sempena TMP 2024 dan RM1.2 juta untuk pelbagai program pelancongan dan kebudayaan.

“Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1.8 juta kepada Perbadanan Taman Negeri bagi Projek Menaiktaraf Utiliti Tapak Ekopelancongan Taman Alam Kinta, Kampar,” ujarnya.

Beliau berkata, RM700,000 juga diperuntukkan bagi keperluan operasi Unit Pulau Bebas Cukai di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Manjung dan RM500,000 diperuntukkan kepada Majlis Kebudayaan Negeri. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Belanjawan Perak 2024 RM1.35 bilion tertinggi dalam sejarah

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI