Perak berpotensi jadi hab pengeluaran kopi

IPOH – Perak berpotensi besar untuk diangkat sebagai hab pengeluaran kopi memandangkan budaya meminum kopi cukup terkenal di negeri ini terutamanya di Ipoh.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, secara peribadi beliau merasa kagum dengan kepelbagaian kopi.

“Kopi yang saya tahu cuma kopi O, Nescafe dengan cappuccino, yang itu yang saya gemari. Rupa-rupanya kopi ini ada pelbagai rasa, warna serta boleh diinovasikan.

“Mengapa tidak kita jadikan industri kopi ini sebagai satu industri yang boleh menjenamakan negeri serta memberi dapat pulangan ekonomi kepada petani melalui penanaman biji kopi.

“Lagi ramai orang menggemari kopi maka lebih ramai orang boleh berniaga kopi dan bila ramai orang berniaga kopi, mereka memerlukan biji kopi.

“Secara tidak langsung ini memberi gambaran kepada Kementerian Pertanian khususnya Jabatan Pertanian untuk melihat potensi bagi kita mengeluarkan kopi sendiri.

“Justeru, jika kita boleh menanam kopi sendiri, ia akan memberi ruang kepada petani-petani untuk menambah pendapatan mereka. Sekarang dah ada getah, kelapa, sawit, durian, mengapa tidak tambah satu lagi produk pertanian iaitu biji kopi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan sesi ‘open mic’ bersama pengusaha dan pengunjung Karnival Kopi Perak ‘Cherita Secangkir Kopi’ di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, di sini, pada Sabtu.

Perak berpotensi jadi hab pengeluaran kopi
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar bersama usahawan kopi pada Karnival Kopi Perak ‘Cherita Secangkir Kopi’ di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 2 DISEMBER 2023.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Dalam pada itu, Saarani berkata, sejak kebelakangan ini, ramai orang daripada Kuala Lumpur singgah ke Ipoh menaiki keretapi elektrik (ETS) semata-mata untuk bersarapan dan selepas ini mungkin mereka akan datang untuk menikmati kesegaran kopi pula.

“Kita yakin boleh menjenamakan kopi itu sebagai ‘Ipoh Coffee’ atau ‘Perak Coffee’ dan saya percaya tanah di Perak ini subur untuk menanam kopi,” ujarnya.

Ujar beliau, penanaman biji kopi juga dapat mengurangkan Perak untuk mengimport biji kopi daripada negara luar.

“Kalau Sarawak dikenali sebagai ladang pada hitam, kenapa tidak Perak menjadi negeri pengeluar kopi,” katanya.

Sehubungan itu, Saarani akan meminta Exco yang berkaitan untuk membincangkan perkara itu dalam Mesyuarat Exco dalam masa terdekat. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Belanjawan Perak 2024: RM21.4 juta untuk TMP 2024

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI