Gerik Megatrails perkasa ekonomi setempat, utamakan keselamatan, kelestarian alam – Saarani

GERIK – Gerik Megatrails bukan sekadar program sukan lasak tetapi turut menjadi platform bagi membantu dalam memperkukuh ekonomi komuniti setempat melalui limpahan aktiviti pelancongan dan perniagaan kecil.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penganjuran acara seperti itu memberi manfaat langsung kepada rakyat apabila kehadiran peserta dan pengunjung meningkatkan permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan tempatan.

“Apa yang lebih penting, acara seperti ini memberi limpahan ekonomi kepada rakyat setempat. Apabila peserta dan pengunjung datang, mereka memerlukan penginapan, makanan, minuman, bahan api, bengkel, pengangkutan dan pelbagai perkhidmatan lain.

“Hasilnya, pengusaha hotel, homestay (rumah inap), peniaga kecil, penyedia makanan, anak muda dan usahawan komuniti turut menerima manfaat.

“Di sinilah kita mahu melihat pelancongan benar-benar menyentuh kehidupan rakyat. Setiap acara yang dianjurkan perlu meninggalkan kesan kepada ekonomi tempatan. Setiap kehadiran pengunjung perlu membuka peluang rezeki kepada penduduk setempat,” katanya.

Gerik Megatrails perkasa ekonomi setempat, utamakan keselamatan, kelestarian alam
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika acara Pelepasan Program Gerik Megatrails 2026 di Lapangan Terbang Gerik, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 MEI 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pelepasan Program Gerik Megatrails 2026 di Lapangan Terbang Gerik, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Datuk Salbiah Mohamed serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Saarani berkata, setiap perkongsian gambar dan video boleh menjadi promosi yang memperkenalkan Gerik kepada lebih ramai orang, khususnya dalam suasana pelancong hari ini banyak membuat pilihan berdasarkan pengalaman yang dikongsi secara digital.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan peserta dan kelestarian alam sekitar perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap penganjuran acara sukan lasak.

“Namun, dalam kita meraikan semangat sukan lasak, aspek keselamatan dan kelestarian alam mesti terus diberi keutamaan.

Gerik Megatrails perkasa ekonomi setempat, utamakan keselamatan, kelestarian alam
Antara pengunjung yang hadir pada Majlis Perasmian dan Pelepasan Program Gerik Megatrails 2026 di Lapangan Terbang Gerik, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 MEI 2026.

“Saya menyeru semua peserta supaya mematuhi arahan penganjur, marshal dan pasukan keselamatan. Pastikan jentera berada dalam keadaan baik, hormati laluan yang telah ditetapkan dan elakkan sebarang tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri atau peserta lain.

“Dalam semangat yang sama, jagalah kebersihan dan keindahan kawasan yang dilalui. Jangan tinggalkan sampah, jangan rosakkan laluan hutan dan jangan ganggu habitat semula jadi.

“Kita mahu Gerik Megatrails dikenali sebagai acara yang mencabar, meriah dan tersusun, tetapi tetap bertanggungjawab terhadap alam sekitar,“ ujarnya.

Tambahnya, Gerik Megatrails berpotensi besar menjadi acara kebanggaan Hulu Perak yang bukan sahaja mengangkat sukan lasak, tetapi turut membuka ruang kepada penglibatan anak muda dalam pelbagai bidang termasuk penganjuran acara, perniagaan, promosi digital, khidmat komuniti dan pelancongan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Gerik Megatrails angkat potensi sukan lasak, ekopelancongan Hulu Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI