Perak fokus ‘ekonomi jingga’ untuk hadapi fasa negeri menua

IPOH – Kerajaan Negeri Perak sedang memberi tumpuan kepada ekonomi jingga atau ekonomi penjagaan (care economy) sebagai persediaan menghadapi perubahan demografi memandangkan negeri ini antara yang terawal memasuki fasa masyarakat menua di Malaysia.

Berdasarkan data semasa, Perak telah mencapai status negeri menua lebih awal apabila lebih 15 peratus daripada kira-kira tiga juta penduduk kini berusia 60 tahun ke atas.

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berkata, negeri ini telah melalui beberapa fasa ekonomi iaitu ekonomi biru, ekonomi hijau, ekonomi ungu dan sekarang sedang menumpukan perhatian kepada ekonomi jingga.

“Negeri yang paling hadapan menjadi negeri menua adalah Perak. Daerah yang menua (mempunyai penduduk berusia 60 ke atas) adalah di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS).

“Jadi, di sini ada pelbagai kaedah sekarang dan kita sudah masuk kepada ekonomi jingga iaitu ekonomi penjagaan,” katanya.

Perak fokus ‘ekonomi jingga’ untuk hadapi fasa negeri menua
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Mesyuarat Agung Perwakilan Ke-39 Tahun 2026 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Negeri Perak di Kolej Komuniti Gerik, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 MEI 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan ke-39 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Negeri Perak di Dewan Kolej Komuniti Gerik di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Saarani memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menghantar Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed ke Jepun bagi melihat bagaimana ekonomi jingga itu dilaksanakan.

“Kita sudah hantar Exco kerajaan negeri, Datuk Salbiah ke Jepun dan melihat bagaimana negara itu melancarkan Ekonomi Jingga iaitu yang berkaitan dengan penjagaan,” jelasnya.

Kerajaan negeri sentiasa cakna terhadap kebajikan dan kesejahteraan melibatkan golongan warga emas dengan memberi fokus kepada aspek kesihatan, kecergasan serta kehidupan sosial mereka selaras dengan agenda Pelan Perak Sejahtera 2030. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak perkukuh agenda masyarakat menua melalui program WE Fit

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI