Jurulatih kadet bomba didakwa 7 pertuduhan amang seksual pelajar perempuan 14 tahun

IPOH – Seorang jurulatih kadet bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan amang seksual dan satu pertuduhan memiliki bahan pornografi melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun.

Tertuduh, Muhammad Aidilafifi Muhammad, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di antara awal Februari hingga 1 Mei 2026 di beberapa lokasi di dalam dan di luar sebuah sekolah di sekitar daerah Perak Tengah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, tertuduh yang juga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut didakwa atas pemilikan gambar pornografi mangsa.

Kandungan tersebut didakwa ditemukan di dalam iPhone 14 Pro Max miliknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada jam 5 petang, 3 Mei 2026.

Kesalahan itu boleh didakwa di bawah Seksyen 10 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.

Terdahulu, Nor Arfahanim Azureen memohon supaya tiada jaminan diberikan memandangkan mangsa di bawah umur namun mencadangkan jaminan sebanyak RM80,000 bagi kesemua pertuduhan.

Berdasarkan rayuan mitigasi, Ahmad Shamil memaklumkan, anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh kepada polis sejak dipanggil pada 3 Mei lalu.

Menurutnya, anak guamnya hanya memperoleh pendapatan RM2,500 sebulan dan perlu menanggung isteri yang tidak bekerja selain ibu bapa yang berusia lebih 60 tahun serta seorang adik berusia 24 tahun.

Tambahnya, anak guamnya itu juga adalah seorang penjawat awam dan telah berkhidmat sebagai anggota bomba selama empat tahun tiga bulan.

“Saya memohon jaminan sebanyak RM5,000 untuk kesemua pertuduhan dan menerima sebarang syarat tambahan yang ditetapkan oleh mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang menghubungi, mengganggu mangsa, keluarganya dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Pada masa sama, mahkamah turut menetapkan 23 Jun depan bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pelajar mengaku salah lakukan amang seksual, seks luar tabii

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI