Peruntukan belanjawan negeri bantu promosi TMP 2024

IPOH – Pemain industri pelancongan menyifatkan Belanjawan Perak 2024 yang dibentangkan pada 1 Disember lalu banyak membantu mereka terutamanya dari segi mempromosikan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Presiden Persatuan Pelancongan Perak (PTA), Datuk Mohd Odzman Abdul Kadir berkata, bagaimanapun sudah tiba masanya pihak swasta memainkan peranan untuk bekerjasama membantu kerajaan negeri dalam sektor ini.

“Bagi saya sebagai orang lama dalam industri ini, saya mempunyai pendekatan tidak mahu bersandarkan kepada kerajaan negeri semata-mata, jadi kolaborasi daripada syarikat swasta untuk bergabung perlu dilaksanakan.

“Kita sebagai rakyat Perak yang ingin melihat kemajuan daripada pelancongan amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyediakan bajet sempena TMP 2024.

“Macam saya selalu berpandangan, bajet untuk mengadakan program oleh kerajaan negeri mungkin mencukupi tetapi jika kita hendak pelbagaikan disinilah peranan sektor swasta bersama-sama berganding bahu untuk memajukan sektor pelancongan di Perak.

“Pelancongan bukan tanggungjawab kerajaan negeri semata-mata. Berapa bajet pun takkan jadi cukup sekiranya kita bersandarkan kepada kerajaan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran novel Cura Si Manja Kini di Dewan Utama, Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Bandar Meru Raya, di sini pada Jumaat.

Sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM21.2 juta bagi memberi pengalaman pelancongan yang terbaik di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bertemakan Promising Perak, seramai lapan juta pelancong di Perak disasarkan bagi mengaktifkan semula aktiviti pelancongan sebagai destinasi utama yang kompetitif dalam segmen eko pelancongan, kebudayaan, warisan dan gastronomi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2024: RM21.2 juta untuk TMP 2024

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI