Arkib Negara dokumentasi warisan adat kehamilan, kelahiran pelbagai kaum

GOPENG – Arkib Negara Malaysia mengambil inisiatif mendokumentasikan warisan adat kehamilan dan kelahiran pelbagai kaum di negara ini bagi memastikan amalan tradisi berkenaan terus dipelihara sebagai khazanah sejarah untuk rujukan generasi akan datang.

Ketua Pengarahnya, Zaidin Mohd Noor berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi penganjuran Majlis Bicara Warisan Adat Kehamilan dan Kelahiran Kaum di Negeri Perak yang diadakan pada hari ini.

Menurutnya, program itu menghimpunkan wakil empat kaum, iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asli Temiar, bagi berkongsi pengetahuan mengenai adat serta budaya berkaitan kehamilan dan kelahiran dalam masyarakat masing-masing.

“Program ini diadakan bertujuan untuk menyebarluaskan berkenaan dengan pendokumentasian berkaitan dengan atas tajuk hari ini iaitu berkaitan dengan warisan adat kehamilan dan kelahiran pelbagai kaum.

“Daripada adat dan budaya tersebut, Arkib Negara Malaysia mengambil pendekatan untuk memelihara warisan dan maklumat yang ada daripada pelbagai kaum itu sebagai satu sejarah untuk dijadikan warisan kepada negara yang kemudiannya dijadikan bahan sebagai rujukan untuk penyelidikan dan kajian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis bicara tersebut di Dewan Bankuet FAMA, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Perak, Shahida Mohamad Salleh.

Arkib Negara dokumentasi warisan adat kehamilan, kelahiran pelbagai kaum
Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Zaidin Mohd Noor bergambar pada Program Majlis Bicara Warisan Adat Kehamilan Dan Kelahiran Kaum Negeri Perak di Dewan Bankuet FAMA, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 OKTOBER 2026.

Dalam perkembangan berkaitan, Zaidin menjelaskan bahawa kepelbagaian adat dan budaya yang dikongsikan turut memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenal pasti amalan yang mempunyai manfaat dalam menguruskan proses kehamilan dan kelahiran.

“Kita memang ada pelbagai ataupun perbezaan. Tapi dalam perbezaan itulah kita ambil pendekatan bagi melihat sesuatu yang mempunyai mempunyai kebaikan masing-masing supaya daripada pelbagai tempat tadi kita boleh ambil supaya menjadi lebih baik dan lebih berkualiti dalam menguruskan.

“Seperti juga yang disebutkan oleh panel tadi, ia menjadi satu kaedah pada kita untuk dijadikan pengalaman, pengajaran ataupun pembelajaran untuk mendapatkan maklumat.

“Pada masa yang sama, kita mengambil pendekatan kajian mengambil pendekatan yang apa mengadunkan di antara tradisi, budaya dengan pemodenan iaitu yang diadakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Jadi, yang mana boleh disesuai, diguna pakai, adat ini saya menganggap sebagai kearifan tempatan iaitu kepandaian ataupun wisdom tempatan berkenaan dalam menguruskan kedua-dua perkara tersebut,” ujarnya.

Katanya, kajian terhadap amalan tradisional itu juga membolehkan pengetahuan tempatan dinilai dari segi kesesuaiannya untuk digabungkan dengan pendekatan perubatan moden, khususnya dalam aspek kehamilan dan kelahiran.

Beliau turut menyifatkan usaha memelihara warisan adat pelbagai kaum sebagai salah satu pendekatan untuk memperkukuh perpaduan masyarakat serta memastikan khazanah budaya berkenaan dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tindakan awal perlu diperkasa bendung isu sentimen perkauman di Perak – Exco

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI