TANJUNG MALIM – Keamanan dan keharmonian yang dinikmati rakyat Malaysia ketika ini merupakan nikmat terbesar yang perlu disyukuri serta dipelihara bagi memastikan masyarakat pelbagai kaum dapat menyambut perayaan dalam suasana aman damai.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, suasana aman membolehkan masyarakat saling berhubung, di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan serta berkunjung ke rumah rakan dan sahabat tanpa rasa bimbang.
Menurutnya, sambutan perayaan seperti Deepavali, Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina menjadi antara peluang terbaik untuk mengukuhkan perpaduan serta memupuk semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Selalu saya ingatkan kepada orang negeri Perak, kalau tuan-tuan nak bersyukur, nak berterima kasih, kita boleh pejamkan mata sekejap, kita bayangkan suasana Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina atau Deepavali di tempat lain, di luar daripada Malaysia.
“Nescaya kita akan rasa kita sangat bersyukur dan terima kasih kerana kita sebuah negara yang aman dan damai,” katanya ketika berucap pada program Sentuhan Kasih, Jalinan Budi Komuniti Muallim bersama Menteri Besar Perak di Dewan Tan Sri Haji Ghazali Jawi, Bandar Baru Slim River di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Saarani berkata, keamanan sesebuah negara turut berkait rapat dengan keadaan hati dan sikap setiap individu yang akan dilihat melalui tingkah laku serta cara mereka berinteraksi dengan orang lain.

Foto: Aniq Nabilafiq Anuar
“Kalau hati kita rosak, kerosakan hati itu akan tergambar melalui wajah kita yang masam mencuka, benci, marah, sebab hati kita rosak, perasaan kita tidak tenteram, perasaan kita tak gembira.
“Kalau hati kita seronok, ia digambarkan melalui wajah kita yang baik. Kita bersalam, kita peluk, kita bergembira, kita ketawa, kita riang sebab hati kita seronok,” ujarnya.
Katanya, kemakmuran dan kekayaan tidak akan membawa makna sekiranya negara berada dalam keadaan tidak aman sehingga mencetuskan perselisihan dalam kalangan rakyat.
“Nikmat yang paling besar kepada kita adalah dapat negara yang aman dan makmur. Kalau kita kaya, negara tak makmur; kalau kita kaya, negara tak aman, kita akan bergaduh antara satu sama lain, maka kekayaan sudah tidak memberi apa-apa erti lagi.
“Sebab itu keamanan ini adalah sebaik-baik nikmat yang perlu kita syukuri. Jadi tugas kita, jagalah keamanan ini,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
300 penerima eKasih, B40 di Muallim terima sumbangan kotak makanan sempena Deepavali


