TAPAH – Kerajaan Negeri Perak mahu tindakan lebih awal diambil bagi membendung sebarang cubaan memainkan sentimen perkauman, khususnya menerusi media sosial, sebelum ia menjejaskan keharmonian dan perpaduan masyarakat.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, walaupun hubungan antara kaum di negeri ini masih terkawal namun usaha pencegahan perlu diperkukuhkan bagi memastikan sebarang unsur yang boleh mencetuskan ketegangan ditangani segera.
Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tindakan sewajarnya dapat diambil sekiranya terdapat kandungan media sosial yang berunsur mengancam perpaduan kaum.
“Kalau ada isu-isu perkauman yang dimainkan, pihak polis perlu bertindak tanpa menunggu sehingga ada laporan dibuat, khususnya sekiranya kandungan berkenaan jelas berbau ancaman terhadap perpaduan kaum.
“Pada masa sama, saya juga telah berbincang dengan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Perak juga harus memainkan peranan bagi menangani insiden ini daripada berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival Idea dan Kesejahteraan Negeri Perak yang diadakan di Dewan Muhibbah Bidor, di sini hari ini.
Hadir sama Pengurus Besar Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Mohamad Fikri Junit.
Dalam pada itu, Sivanesan menegaskan usaha memelihara perpaduan tidak seharusnya hanya dilakukan selepas berlakunya sesuatu insiden, sebaliknya langkah pencegahan perlu dimulakan lebih awal.
Katanya, sekiranya terdapat unsur-unsur yang boleh menggugat perpaduan dimainkan oleh mana-mana pihak, pegawai perpaduan di peringkat daerah perlu mengambil tindakan sewajarnya termasuk membuat laporan kepada pihak polis.
“Kerjasama saya sentiasa ada untuk mereka dan saya akan terus mengikuti perkembangan perkara ini. Kita harus bertindak sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.
“Kalau pegawai atau pihak yang bertanggungjawab dalam soal perpaduan mengesan unsur-unsur yang boleh mencetuskan ketegangan, mereka perlu tampil membuat laporan dan mendapatkan tindakan pihak berkuasa,” ujarnya.
Tambahnya, langkah itu juga penting bagi mengelakkan tindakan politik dilihat mempunyai motif tertentu sekiranya laporan polis dibuat oleh ahli politik.
“Masalahnya, kalau saya atau mana-mana ahli politik membuat laporan polis, ia mungkin dipolitikkan dan dikatakan mempunyai motif tertentu.
“Jadi, biarlah pegawai kerajaan yang bertanggungjawab dalam soal perpaduan mengambil tindakan dan membuat laporan sekiranya terdapat perkara yang boleh mengancam keharmonian masyarakat,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


