Festival Idea dan Kesejahteraan Perak: Bina budaya berfikir, perkukuh perpaduan

TAPAH – Festival Idea dan Kesejahteraan Negeri Perak adalah antara langkah proaktif kerajaan negeri bagi membuka ruang kepada masyarakat untuk berfikir, berdialog dan berkongsi pandangan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan komuniti dan kesejahteraan rakyat.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, program ini selaras dengan aspirasi pembangunan sosial di bawah agenda Pelan Perak Sejahtera 2030.

Menurutnya, kesejahteraan sebenar bukan hanya bergantung kepada aspek pembangunan fizikal dan ekonomi, tetapi turut dipengaruhi oleh sejauh mana rakyat dapat saling menghormati serta mempunyai rasa kebersamaan sebagai sebahagian daripada masyarakat Perak.

“Pembukaan ruang forum dan perbincangan seperti ini penting dalam membina satu budaya masyarakat yang matang, khususnya budaya untuk berfikir dan memahami sebelum membuat keputusan.

“Dalam sebuah negara berbilang bangsa, kebolehan untuk mendengar dan memahami pandangan orang lain adalah satu nilai yang amat diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival Idea dan Kesejahteraan Negeri Perak yang diadakan di Dewan Muhibbah Bidor, di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Mohamad Fikri Junit.

Festival Idea dan Kesejahteraan Perak: Bina budaya berfikir, perkukuh perpaduan
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan (tiga dari kiri) ketika menghadiri Festival Idea dan Kesejahteraan Negeri Perak yang diadakan di Dewan Muhibbah Bidor, Tapah, hari ini. Foto Rosdalilah Zahari

Dalam perkembangan sama, Sivanesan berkata, penganjuran festival tersebut mengangkat tiga asas utama, iaitu idea, perpaduan dan kesejahteraan.

“Idea melahirkan perubahan. Perpaduan membolehkan perubahan itu dilaksanakan bersama, dan kesejahteraan menjadi ukuran kepada manfaat perubahan tersebut kepada masyarakat.

“Justeru, saya menyeru agar rakyat terus memelihara ikatan persefahaman dan perpaduan yang telah terbina dalam masyarakat.

“Janganlah kita kusutkan tali persefahaman dan perpaduan yang erat ini. Perbezaan ini adalah keunikan negara kita,“ ujarnya.

Festival yang julung kali diadakan ini adalah hasil kerjasama PASAK, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perak (JPNIN), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perpaduan rakyat jamin keamanan negara – Saarani

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI