SHAH ALAM – Menjadi menteri bukan tiket untuk mengumpul kekayaan, sebaliknya tanggungjawab untuk membantu memperbaiki pentadbiran negara dan memastikan manfaat kerajaan sampai kepada rakyat, kata Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi itu berkata, beliau tidak melihat jawatan yang disandang sebagai ruang untuk mengubah kehidupan peribadi, sebaliknya peluang membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengurus negara dengan lebih baik.
“Saya jadi menteri bukan untuk jadi kaya. Saya masih pakai jam ‘Timex’, kasut ‘Converse’, baju batik dan saya tidak beli rumah baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Madani Kita Bersama-sama Komuniti Kota Anggerik di Dewan Melati, Seksyen 7, di sini, hari ini.

Malah beliau sempat berseloroh dengan mengatakan, beliau juga tidak berkahwin lain.
Fahmi berkata, perkara lebih penting baginya ialah memastikan kementerian yang diterajui terus melakukan penambahbaikan supaya rakyat mendapat manfaat daripada dasar dan perkhidmatan kerajaan.
Menurutnya, antara perkara yang diberi perhatian Kementerian Komunikasi ialah memastikan akses Internet lebih meluas, murah dan selamat kepada rakyat.
Beliau berkata, kerajaan juga mengambil pendirian supaya pelaksanaan rangkaian 5G tidak menyebabkan rakyat dikenakan caj tambahan oleh syarikat telekomunikasi.
“Dulu telco nak caj tambahan untuk 5G, tetapi kita kata tidak. Jangan bebankan rakyat,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Fahmi turut menyentuh pengalaman Selangor sebagai antara negeri terawal memperkenalkan perkhidmatan bas percuma kepada rakyat, sebelum pendekatan itu turut dilaksanakan di Kuala Lumpur.
Katanya, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan di peringkat negeri boleh menjadi contoh kepada pentadbiran di peringkat lain sekiranya kepimpinan mempunyai komitmen untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Fahmi turut menggesa rakyat memberikan sokongan kepada kepimpinan Selangor termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, serta barisan Exco dan wakil rakyat negeri bagi memastikan kestabilan pentadbiran dapat diteruskan.
Pada masa sama, beliau menegaskan pendiriannya menolak kleptokrasi serta sebarang bentuk penyelewengan yang merugikan rakyat.
“Kita di Selangor menolak kleptokrasi. Jangan kita sayang balik kleptokrat,” tegasnya.
Fahmi berkata, kestabilan pentadbiran serta kepimpinan yang telus penting bagi memastikan pembangunan dapat diteruskan dan hasilnya dinikmati rakyat.
Fahmi turut menyeru rakyat terus memberikan sokongan kepada Anwar untuk memimpin kerajaan, termasuk meneruskan pentadbiran bagi penggal kedua. – MalaysiaGazette


