IPOH – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Perak bakal diberi pendedahan lebih praktikal untuk menembusi pasaran antarabangsa menerusi penganjuran Hari Eksport Perak 2026 pada 14 Oktober ini.
Program anjuran Kerajaan Negeri Perak menerusi Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu dijadual berlangsung di Hotel Kinta Riverfront, di sini.
Berbeza daripada pendekatan yang hanya memberi penerangan umum mengenai eksport, program berkenaan memberi tumpuan kepada aspek kesiapsiagaan sebenar yang perlu dimiliki usahawan sebelum membawa produk dan perkhidmatan ke pasaran global.
STeP dan MATRADE dalam kenyataan media bersama berkata, antara perkara yang diberi perhatian termasuk keupayaan perusahaan menilai potensi eksport, mendapatkan pembiayaan, memanfaatkan pendigitalan serta mengurus urusan perdagangan rentas sempadan.
“Hari Eksport Perak 2026 turut menjadi platform untuk mempertemukan usahawan dengan pemain utama ekosistem eksport, termasuk agensi kerajaan, institusi kewangan, penyedia perkhidmatan logistik dan pengeksport berpengalaman.
“Program percuma itu terbuka khusus kepada PMKS, koperasi serta perusahaan sosial berasaskan produk dan perkhidmatan di Perak, dengan penyertaan dihadkan kepada dua wakil bagi setiap syarikat,” katanya.
Jelasnya lagi, peserta akan mengikuti enam sesi forum utama yang menyentuh pelbagai aspek berkaitan pengembangan perniagaan ke pasaran antarabangsa.
“Antara fokus utama ialah kesediaan eksport dan akses pembiayaan sebelum memasuki pasaran global, selain peranan pendigitalan perniagaan dalam membuka capaian kepada pelanggan antarabangsa.
“Aspek kelancaran perdagangan rentas sempadan dan daya tahan perniagaan turut diketengahkan, termasuk peluang perusahaan tempatan untuk diintegrasikan ke dalam rantaian bekalan syarikat multinasional (MNC) dan syarikat peringkat pertengahan (SPP),” katanya.
Katanya lagi, tiga mesej utama menjadi teras Hari Eksport Perak 2026 iaitu membina asas pengetahuan eksport yang kukuh, meningkatkan celik kewangan eksport serta memahami dinamik ekonomi dan geopolitik antarabangsa.
“Pendekatan itu penting memandangkan usaha menembusi pasaran antarabangsa bukan hanya bergantung kepada kemampuan menghasilkan produk, sebaliknya turut memerlukan pemahaman mengenai pembiayaan, logistik, saluran pasaran dan perubahan persekitaran ekonomi global.
“Pada masa sama, program berkenaan berperanan mengenal pasti perusahaan tempatan yang mempunyai potensi untuk dikembangkan menerusi program bimbingan dan tindakan susulan.
“Ia sekali gus memberi ruang kepada usahawan bukan sahaja memperoleh maklumat, malah membina hubungan dengan agensi serta pemain industri yang boleh membantu mereka dalam perjalanan ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Pendaftaran Hari Eksport Perak 2026 kini dibuka dan usahawan yang berminat digalakkan mendaftar lebih awal berikutan tempat adalah terhad. -MG Perak


