IPOH – Mangsa kemalangan yang terselamat dalam nahas di Jalan Perpaduan berhampiran Taman Perpaduan Ria di Tambun pagi tadi masih belum dimaklumkan mengenai pemergian kakak dan adik bongsunya itu.
Kakak sulung mangsa, Nurul Aeina Ibrahim, 28, berkata, berita sedih itu belum dimaklumkan kepada Norhayati Qaliesha, 12, memandangkan adiknya itu berada dalam keadaan kritikal.
Pada masa sama, dia berkata, doktor turut memaklumkan bahawa adik perempuannya itu perlu menjalani pembedahan di bahagian rahang dan hati.
“Adik sudah sedar dan ada bertanya keadaan dua beradik yang lain tetapi kami belum beritahu,“ katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bagus, Tambun di sini malam ini.

Anak sulung daripada 10 adik beradik itu berkata, dia dimaklumkan mengenai kemalangan itu daripada guru sekolah mereka sekitar jam 8 pagi tadi.
“Mereka hanya beritahu (tiga beradik) kemalangan sahaja. Bila saya ke lokasi baru tahu mereka sudah meninggal dunia,“ jelasnya.
Katanya, kedua-dua adiknya tidak menunjukkan sebarang perubahan cuma mereka kelihatan lebih ceria daripada biasa sebelum ke sekolah pagi ini.
“Kami baru berpindah dua bulan di sini dan setiap hari suami (Norhanizam Muhammad Yusri, 28), yang mengambil dan hantar mereka berdua ke sekolah selain dibantu adik beradik lain. Disebabkan itu, suami agak rapat dengan kedua-dua adik,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua beradik perempuan maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Perpaduan berhampiran Taman Perpaduan Ria, Tambun, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 7.20 pagi itu, mangsa, Elyana Nasuha, 19, dipercayai dalam perjalanan menghantar dua adiknya, Suhaila, 10, dan Norhayati Qaliesha, ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Dermawan.
Bagaimanapun, Elyana yang juga seorang pekerja swasta dan Suhaila maut dalam kemalangan itu manakala Norhayati mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Jenazah dua beradik terbabit selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tambun pada jam 6.30 petang pada Jumaat dengan pengurusan dibantu sepenuhnya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tragedi ke sekolah: Dua beradik maut, seorang parah motosikal bertembung kereta


