Arkib Negara galak masyarakat serah bahan warisan untuk dipelihara

GOPENG – Arkib Negara Malaysia menggalakkan orang ramai, khususnya pemimpin komuniti, pengamal adat, pertubuhan masyarakat dan keluarga, supaya memainkan peranan menyelamatkan bahan warisan yang masih tersimpan dalam simpanan masing-masing.

Ketua Pengarahnya, Zaidin Mohd Noor berkata, usaha itu penting bagi memastikan khazanah sejarah, budaya dan kearifan tempatan terus dipelihara serta dapat dimanfaatkan sebagai sumber rujukan dan penyelidikan generasi akan datang.

Menurutnya, bahan warisan boleh dikumpulkan melalui pendokumentasian sejarah lisan, termasuk pengalaman dan perkongsian masyarakat, selain penyerahan dokumen serta bahan sejarah kepada institusi berkenaan.

“Kita faham daripada rakan-rakan kita ada bahan berkaitan dengan kaedah kehamilan, kaedah kelahiran tadi, mungkin ada dokumentasi dalam pelbagai bentuk seperti dulu dalam bentuk gambar, kertas, dokumen atau dalam bentuk audio visual pada zaman moden.

“Bahan-bahan ini yang mungkin ada dalam kumpulan kami, dalam masyarakat, komuniti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyimpan boleh diserahkan kepada Arkib Negara.

“Dalam konteks hari ini, boleh diserahkan kepada Arkib Negara Malaysia Negeri Perak. Kita akan menyimpan dan memelihara dan kita buka kepada bahan-bahan ini pada awam,” katanya.

Arkib Negara galak masyarakat serah bahan warisan untuk dipelihara
Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Zaidin Mohd Noor pada sidang media Program Majlis Bicara Warisan Adat Kehamilan Dan Kelahiran Kaum Negeri Perak di Dewan Bankuet FAMA, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 OKTOBER 2026.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Bicara Warisan Adat Kehamilan dan Kelahiran Kaum di Negeri Perak di Dewan Bankuet FAMA Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Perak, Shahida Mohamad Salleh.

Dalam pada itu, Zaidin berkata, merujuk program hari ini, bahan yang diserahkan akan dipelihara dan dibuka untuk rujukan awam bagi membolehkan masyarakat menjalankan penyelidikan berkaitan pelbagai isu, termasuk amalan tradisional, adat kehamilan dan kelahiran serta budaya tempatan.

Katanya, dokumentasi berkaitan perkara berkenaan memerlukan masa yang panjang, justeru usaha mengumpulkan maklumat daripada masyarakat perlu dilaksanakan secara berterusan bagi mengelakkan kehilangan pengetahuan yang diwarisi sejak turun-temurun.

“Arkib Negara menggalakkan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kearifan lokal ataupun kepakaran ataupun sejarah tempatan diserahkan kepada arkib supaya menjadikan khazanah warisan negara,” katanya.

Zaidin menjelaskan pengumpulan rekod sejarah tidak seharusnya tertumpu kepada dokumen rasmi kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi rekod yang dimiliki komuniti bagi memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai sejarah dan kehidupan masyarakat. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Penggunaan AI perlu dimanfaatkan dalam pengurusan bahan arkib – Aaron

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI