Belanjawan Perak 2024: Tuisyen Cikgu Saarani diteruskan

IPOH – Kerajaan Perak sentiasa cakna dalam menyediakan bantuan serta menjalankan program melibatkan pelajar bermula daripada peringkat sekolah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.

Justeru, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara bantuan yang disediakan termasuklah peruntukan sebanyak RM13.2 juta bagi Bantuan Khas Pendidikan.

Menurutnya bantuan untuk pelajar sekolah bantuan kerajaan dan pelajar sekolah tahfiz atau pondok turut diberikan perhatian pada belanjawan kali ini.

“Bantuan pendidikan sebanyak RM4 juta per kapita akan disalurkan kepada pelajar-pelajar sekolah bantuan kerajaan manakala RM2 juta disediakan bagi bantuan per kapita kepada pelajar sekolah tahfiz dan pondok,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2024 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Jumaat.

Saarani berkata, di bawah Biasiswa Menteri Besar, sejumlah RM1 juta diperuntukkan untuk membantu anak Perak yang masih bersekolah.

“Pada tahun 2023, seramai 916 orang murid menerima biasiswa ini dengan perbelanjaan hampir RM1 juta,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak RM600,000 disediakan di bawah Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak (TASPEN) bagi anak-anak kelahiran Perak dengan simpanan permulaan sebanyak RM200 menerusi Skim Simpanan Pendidikan Tinggi Nasional (Akaun SSPN PRIME).

“Sehingga 15 November 2023, sebanyak 3,000 permohonan telah diluluskan dan sejumlah RM600,000 telah dibelanjakan untuk sumbangan Pendidikan manakala Bantuan Sekolah Pendidikan Khas pula mendapat RM200,000.

“Program Pemantapan Pelajar Sekolah Rendah iaitu inisiatif baru kerajaan negeri bagi mengelakkan keciciran pelajar terutamanya dalam menguasai asas membaca, menulis dan mengira turut dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM200,000,” ujarnya.

Bagi mengukuh dan memantapkan segala inisiatif pendidikan, beliau turut memaklumkan bahawa program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) akan diteruskan untuk memberi manfaat secara langsung kepada pelajar, guru dan ibu bapa.

“Program ini dibiayai melalui Tabung Didik Sejahtera Perak (DIDIK Perak) yang mengumpulkan sumbangan daripada badan berkanun negeri, agensi negeri, pihak korporat serta orang perseorangan dengan terimaan setakat ini adalah RM3.4 juta dan sejumlah RM3 juta telah dibelanjakan untuk pelbagai program TCS,” katanya.

Di peringkat pengajian tinggi pula, Saarani berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM14.1 juta meliputi bantuan-bantuan seperti juta Insentif Siswa Dalam Negara iaitu pemberian secara one-off bagi membuat persediaan menyambung pengajian berjumlah RM6 juta dan RM200,000 bagi Insentif Siswa Luar Negara.

“Sumbangan RM5 juta bagi tujuan pengoperasian Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) juga terdapat  peningkatan RM2 juta berbanding tahun 2023.

“Di samping itu, sebanyak RM2 juta disediakan bagi program Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Anak Perak; RM500,000 untuk penganjuran World Conference on Islamic Thought and Civilization (WCIT) dan RM400,000 juta pula diperuntukkan bagi Program Pengupayaan Mahasiswa. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Belanjawan Perak 2024 RM1.35 bilion tertinggi dalam sejarah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI