PUTRAJAYA – Kerajaan mengakui peningkatan kos sara hidup dan harga barangan di pasaran tempatan susulan krisis tenaga global, sekali gus memberi jaminan komitmen berterusan untuk mengurangkan beban rakyat, jelas Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak menafikan tekanan yang dihadapi rakyat, khususnya melibatkan kenaikan harga makanan dan kos operasi perniagaan kecil.
“Apakah saya nafikan bahawa ada permasalahan dari segi kos sara hidup dan harga barang? Saya tidak nafikan. Apakah ia harus ditangani dengan bijak? Ya. Apakah mampu kita bantu? Saya jawab sebahagiannya ya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Perhimpunan Bulanan di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) hari ini.
Hadir sama adalah dan dihadiri Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata, kerajaan sedaya upaya akan mengambil langkah bersasar bagi mengurangkan beban rakyat walaupun kos yang perlu ditanggung kerajaan dijangka meningkat.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri memaklumkan isu kenaikan harga bekalan makanan dan kos sara hidup akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet minggu ini.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas beliau sendiri menerima pelbagai keluhan daripada peniaga kecil di lapangan.
“Saya sempat bertemu dengan peniaga makanan ketika makan tengah hari di Rawang pada Jumaat lalu. Dia kata tiap minggu ada kenaikan sedikit. Kalau tiga minggu sedikit demi sedikit, kedai itu akan terkesan,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Beliau menegaskan, maklum balas daripada peniaga kecil penting kerana ia menggambarkan realiti sebenar yang mungkin berbeza daripada laporan rasmi bahawa harga masih terkawal.
Sehubungan itu, kerajaan akan meneliti langkah tambahan bagi membantu peniaga kecil serta memastikan tekanan kos sara hidup rakyat dapat dikurangkan secara berkesan. – MalaysiaGazette


