PARIT BUNTAR – Kerajaan negeri memperuntukkan RM3.7 juta bagi pelaksanaan Pasar Sejahtera Rakyat Perak di seluruh negeri melalui pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai bentuk jualan bersubsidi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan berkenaan merupakan inisiatif payung subsidi bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.
“Menyedari impak krisis tenaga global yang turut memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat, Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Pasar Sejahtera Rakyat Perak.
“Inisiatif ini melibatkan penjualan barangan kering dan basah dengan harga sekurang-kurangnya lima peratus lebih rendah berbanding pasaran setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 3 Tahun 2026 di Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian, Pekan Baru (Dennistown) di sini pada Isnin.
Terdahulu Saarani melancarkan Pasar Sejahtera Rakyat Perak di perkarangan Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian.
Mengulas lanjut beliau berkata, peruntukan RM3.7 juta berkenaan merangkumi RM2 juta bagi Pasar Sejahtera Rakyat Perak yang dilaksanakan melalui Pejabat Daerah dan Tanah di semua daerah dengan kekerapan berkala setiap bulan.
Jelasnya, diikuti RM1.2 juta bagi Jualan Sejahtera Rakyat yang dilaksanakan di kesemua 59 kawasan Dewan Negeri oleh Yayasan Bina Upaya bersama Perak SADC dan RM400,000 bagi Jualan Sejahtera Rahmah melalui Program Jelajah Sejahtera Desaku di kawasan luar bandar terpilih.

“Baki RM100,000 pula bagi Jualan Koperasi Perak Sejahtera di beberapa kawasan dengan penglibatan koperasi tempatan dan sasaran manfaat kepada lebih 1,000 keluarga.
“Pelaksanaan program ini diselaraskan melalui Pejabat Daerah dan Tanah serta diperluas ke kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Saarani berkata, pasar berkenaan dilaksanakan di bawah Fasa 1 Langkah Mitigasi Impak Krisis Asia Barat Negeri Perak bagi tempoh April hingga Jun 2026. -MG Perak


