Kerajaan Perak sedia beri bantuan kaunseling kepada keluarga Nurfisya

PARIT BUNTAR: Kerajaan Negeri Perak bersedia memberi bantuan khidmat kaunseling kepada keluarga Nurfisya Zulkifly, 19, yang ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh, Kelantan, Jumaat lalu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, khidmat berkenaan akan diberikan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut beliau, wakil JKM telah menziarahi dan menyantuni keluarga arwah yang juga penuntut sebuah kolej di Kelantan baru-baru ini di kediaman mereka di Kuala Kangsar.

“Di pihak JKM, kita mempunyai pakar psikologi yang boleh memberikan kaunseling dan membantu keluarga untuk pulih daripada trauma berikutan peristiwa tragis yang menimpa mangsa.

“Saya faham bahawa kejadian ini bukan sesuatu yang mudah untuk diterima dan pastinya keluarga turut terkesan apabila kehilangan orang tersayang sekelip mata dan dalam situasi luar jangka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan penyerahan Kad Perak Sejahtera kepada 29 penerima bagi daerah Kerian di Mydin Parit Buntar, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut Salbiah berkata, kerajaan negeri menzahirkan rasa simpati kepada keluarga pelajar terbabit dan mengharapkan mereka terus tabah serta segera pulih daripada ujian dan trauma yang dihadapi.

“Di bawah portfolio saya, kita mula memberi fokus kepada program pengurusan emosi dan seumpamanya bagi membantu mengelakkan situasi hilang kawalan emosi.

“Difahamkan semalam, Datuk Mohd. Zolkafly selaku exco kerajaan negeri dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Lintang telah menyantuni keluarga mangsa (di Karai),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat seorang wanita dipercayai dibunuh sebelum dibuang di kawasan sawah padi di Kampung Simah, Ketereh sekitar pukul 12.30 tengah malam, Jumaat lalu. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI