Bantuan makanan Percuma TCS diteruskan, peruntuk RM2.67 juta

IPOH – Program bantuan makanan percuma kepada calon peperiksaan utama di bawah pelaksanaan inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) diteruskan tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM2.67 juta.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program yang memasuki tahun ketika penganjurannya itu dijangka memberi manfaat kepada 26,628 calon peperiksaan utama di Perak.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan bakal memberi manfaat kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari 238 buah sekolah di Perak.

“Program Bantuan Makanan Percuma di bawah inisiatif TCS yang sudah masuk tahun ketiga pelaksanaannya telah memanfaatkan kira-kira 200,000 orang pelajar.

“Pelajar yang terlibat akan menerima makanan tengah hari pada kadar RM5 seorang selama 20 hari semasa sesi kelas tambahan, kelas intensif dan tuisyen bermula dari cuti penggal ketiga sesi 2023/2024 sehingga ke tarikh peperiksaan yang dijadual berakhir pada Mac 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma (Inisiatif Program TCS), di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut Saarani berkata, sebanyak lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri menjadi penyumbang dalam melaksanakan program bantuan makanan percuma berkenaan.

Jelas Saarani, kelima-lima GLC berkenaan adalah Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Perbadanan Menteri Besar (MBInc.)

Ujarnya, dana berkenaan disalurkan melalui akaun amanah Tabung Didik Sejahtera Perak dan setiap sumbangan yang disalurkan turut menerima pengecualian cukai pendapatan syarikat.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, program ini telah membantu peningkatan tahap pencapaian murid dalam semua peperiksaan awam di sekolah-sekolah yang terlibat dan membantu merapatkan jurang pencapaian di antara sekolah bandar dan luar bandar.

“Selain itu, ia turut membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa untuk menyediakan wang saku kepada murid-murid bagi mengikuti program-program semasa cuti penggal tersebut,” katanya.

Untuk rekod, Yayasan Perak dilantik sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan melaksanakan program-program pendidikan termasuk di bawah TCS dan berkolaborasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang bertindak menyelaraskan penyaluran bantuan makanan ini ke sekolah-sekolah yang terlibat.

Selain program bantuan makanan percuma, Yayasan Perak juga akan menyelaras semua program-program di bawah TCS dan akan terus menambah baik pelaksanaannya dari semasa ke semasa bagi mencapai hasrat, objektif, keperluan, akses pendidikan dan meningkatkan pencapaian bagi golongan sasar. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2024: Tuisyen Cikgu Saarani diteruskan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI