IPOH – Tiga individu selamat manakala seorang lagi dikhuatiri lemas selepas dipercayai dibawa arus deras dalam kejadian kepala air di kawasan Air Terjun Puncak Jelapang, Meru Raya, di sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.14 petang.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya tiba di lokasi kejadian pada jam 5.32 petang, kira-kira 10 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi didapati kejadian itu melibatkan mangsa terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 23 tahun.
“Seorang wanita yang berada di seberang sungai berjaya diselamatkan oleh pihak bomba, manakala seorang lelaki yang dilaporkan dihanyutkan arus deras berjaya menyelamatkan diri.
“Seorang lagi mangsa lelaki yang berada di tebing sungai turut terselamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi kini tertumpu kepada usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi wanita berusia 21 tahun yang masih hilang dipercayai dihanyutkan arus deras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, keadaan arus sungai di lokasi kejadian masih deras dan operasi SAR masih diteruskan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MTL: JBPM Perak kenal pasti 332 lokasi banjir, 32 hotspot kepala air


