Pelajar tingkatan satu hilang di Kuala Kangsar ditemui selamat di Taiping

KUALA KANGSAR – Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang dari sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di sini ditemukan selamat di sebuah masjid di Taiping, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan pelajar terbabit daripada ibunya, kira-kira jam 6.07 petang semalam selepas wanita itu dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai kehilangan anaknya.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes orang hilang (OH) dan usaha mengesan pelajar tersebut segera digerakkan dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Usaha mengesan pelajar tersebut dijalankan oleh pihak polis dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan kerjasama pihak sekolah dan ahli keluarga.

“Hasil maklumat yang disalurkan orang awam, pelajar terbabit berjaya ditemukan oleh pihak polis di Taiping sekitar jam 10 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Heisham berkata, pelajar terbabit kemudiannya diserahkan semula kepada ibu bapanya dalam keadaan baik dan selamat.

Dalam pada itu, Heisham menegaskan kejadian kehilangan pelajar tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, dengan kes kematian yang melibatkan seorang pelajar SBP di Kuala Kangsar seperti yang dilaporkan pada 18 November lalu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pelajar SBP Kuala Kangsar maut: Polis sah tiada unsur jenayah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI