MAIPk salur bantuan lebih RM980,000 kepada masyarakat Manjung

MANJUNG – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyalurkan bantuan dan manfaat berjumlah lebih RM980,000 menerusi Program Jelajah MAIPk Bestari Daerah Manjung yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, program yang menggunakan pendekatan turun padang itu adalah bagi mendekatkan institusi tersebut dengan masyarakat serta memastikan manfaat dana zakat, wakaf dan Baitulmal disampaikan kepada golongan yang memerlukan.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan, sebanyak RM396,000 diperuntukkan bagi agihan daging segar kepada golongan asnaf fakir dan miskin di daerah itu bagi tahun ini.

“Selain itu, sebanyak RM272,808.29 diperuntukkan bagi manfaat wakaf untuk saraan masjid, surau, sekolah agama rakyat dan tanah perkuburan Islam di daerah ini.

“Program Santunan Bestari yang berlangsung di Masjid Arfiah, Batu 3, Segari turut menyaksikan penyerahan sumbangan bencana kebakaran berjumlah RM30,000 kepada Masjid Al-Ikram, Sitiawan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

MAIPk salur bantuan lebih RM980,000 kepada masyarakat Manjung
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kipas bernilai RM4,500 kepada kepada Wad Pediatrik Hospital Seri Manjung. Foto MAIPk

Sementara itu, beliau berkata, bantuan bencana banjir berjumlah RM141,500 disalurkan kepada penduduk Pulau Pangkor menerusi kerjasama Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam aspek pendidikan, Syamsul Hazeman berkata, MAIPk turut menyampaikan bantuan persekolahan berjumlah RM87,600 kepada anak-anak pekerja buruh Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

“Turut menerima perhatian ialah Sekolah Rendah Agama Rakyat, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang menerima sumbangan RM50,000 bagi penyediaan kelengkapan pembelajaran seperti meja, kerusi dan rak untuk lapan kelas membabitkan 280 murid,” ujarnya.

Katanya, MAIPk juga mengadakan program ziarah pesakit di Hospital Seri Manjung dan Pusat Haemodialisis Wakaf Perak Al Ridzuan (WAPAR) dengan menyampaikan 65 hamper kepada pesakit.

“Sebanyak 16 unit kipas berdiri dan kipas dinding bernilai RM4,500 turut disumbangkan kepada Wad Pediatrik, Hospital Seri Manjung bagi meningkatkan keselesaan pesakit,” jelasnya.

MAIPk salur bantuan lebih RM980,000 kepada masyarakat Manjung
Program Jelajah MAIPk Bestari Daerah Manjung turut menyantuni pesakit di WAPAR dan Hospital Seri Manjung. Foto MAIPk

Program selama dua hari itu turut diisi dengan Ceramah Perdana di Masjid An-Nur, TLDM yang disampaikan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, dengan pengisian berkaitan zakat, wakaf dan Baitulmal.

Beliau berkata, selain pengisian kebajikan dan keagamaan, MAIPk turut mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun (JPKA) serta Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT) di MPM bagi memperkukuh tadbir urus kewangan, pengurusan akaun dan hala tuju teknologi maklumat.

“Pertemuan bersama pihak pengurusan MPM serta kunjungan hormat kepada Yang Dipertua majlis itu turut membuka ruang perbincangan bagi meneroka peluang kerjasama strategik, khususnya dalam bidang yang memberi manfaat kepada masyarakat dan pembangunan sosioekonomi setempat.

“Pelaksanaan program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MAIPk dalam memastikan pengurusan zakat, wakaf dan sumber Baitulmal dilaksanakan secara cekap, berkesan serta beramanah,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MAIPk peruntuk RM396,660 perkasa pemulihan prospek wanita di PKBG

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI