BATU GAJAH – Majlis Agama Islam dan ’Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan RM396,660 bagi menjayakan beberapa inisiatif utama termasuk memberi penekanan kepada pembangunan modal insan secara menyeluruh di Pusat Koreksional Batu Gajah (PKBG) sejak 2025.
Inisiatif tersebut mendapat perhatian apabila Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja ke PKBG hari ini bagi meninjau sendiri pelaksanaan program-program berimpak tinggi hasil kerjasama antara kedua-dua institusi.
Lawatan kerja tersebut memberi peluang kepada baginda meninjau secara langsung keberkesanan pelaksanaan pelbagai program yang dirangka bagi memperkasa pembangunan sahsiah, kerohanian serta kemahiran prospek wanita dan tahanan reman.
Hadir sama mengiringi lawatan ialah isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Yang Dipertua MAIPK, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah penubuhan Akademi Az-Zahra, iaitu pusat tahfiz wanita pertama di institusi koreksional di Malaysia.
Menurutnya, akademi tersebut menyediakan modul hafazan, tahriri dan usrah yang disusun secara sistematik bagi melahirkan prospek wanita yang berdisiplin, mahir dalam penguasaan al-Quran serta memiliki kekuatan rohani sebagai asas untuk membina kehidupan yang lebih baik selepas tamat menjalani tempoh pemulihan.
“Selain itu, MAIPk turut menaik taraf fasiliti dapur dan kantin wanita sebagai pusat latihan keusahawanan yang menepati piawaian industri.
“Di samping itu, prospek wanita mengikuti kursus latihan kulinari yang dikendalikan oleh syarikat penyedia latihan bertauliah bagi meningkatkan kompetensi mereka dalam bidang penyediaan makanan dan keusahawanan.
“Program ini memberi peluang kepada prospek wanita memperoleh kemahiran yang dapat meningkatkan keupayaan hidup, memperkukuh kebolehpasaran serta membuka ruang kepada mereka untuk berdikari dan menjana pendapatan selepas tamat tempoh pemulihan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama strategik antara MAIPk dan PKBG ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasa agenda pemulihan berteraskan nilai-nilai Islam melalui pendekatan pendidikan, pembangunan kemahiran dan pengukuhan sahsiah.
“Pendekatan holistik ini diyakini mampu membantu prospek wanita membina keyakinan diri, memperkukuh jati diri serta mempersiapkan mereka untuk kembali berfungsi sebagai anggota masyarakat yang produktif, berdikari dan berakhlak mulia.
“Kejayaan pelaksanaan inisiatif ini turut membuktikan bahawa sinergi antara institusi agama dan institusi pemulihan mampu menghasilkan impak yang signifikan dalam usaha melahirkan insan yang lebih berkualiti.
“MAIPk akan terus komited memperluas kerjasama strategik bersama pelbagai agensi bagi memastikan manfaat zakat dapat dimanfaatkan secara lebih lestari dan memberi impak jangka panjang kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MAIPk angkat adat Melayu melalui pertandingan barzanji dan marhaban


