KAMPAR – Seorang penuntut kolej swasta berdepan detik mengerikan selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah treler dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Kilometer 34, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.
Mangsa Muhammad Izzudin Asyraf, 19, dilaporkan cedera parah di kaki bahagian kiri dalam insiden yang berlaku kira-kira 3.45 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler yang dipandu lelaki tempatan berusia 48 tahun dari arah Kampar menghala ke Ipoh melanggar lampu isyarat merah.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu lori dari arah Kampar menghala ke Ipoh bergerak terus dan melanggar lampu isyarat merah sebelum bertembung dengan mangsa yang datang dari sebelah kiri.
“Akibat pelanggaran tersebut mangsa mengalami kecederaan teruk pada bahagian kaki sebelah kiri manakala pemandu lori cedera di kepala,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Mohamad Nazri, siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengetahui punca kemalangan dan melengkapkan kertas siasatan dan pemandu lori telah ditahan.
“Ujian air kencing juga mendapati mangsa negatif dadah dan kes diklasifikasikan di Bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 187),” katanya.
Terdahulu tular video memaparkan seorang penunggang motosikal berhadapan detik ngeri selepas dirempuh sebuah treler ketika menunggang motosikal dipersimpangan lampu isyarat. -MG Perak


