IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Batik Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Jumaat.
Turut berkenan berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan barisan Exco Kerajaan Negeri.
Sultan Nazrin kemudiaan berkenan meletakkan replika Bunga Kalumpang sebagai simbolik perasmian, sebelum menyaksikan sesi peragaan Batik Perak dan kemudian melawat reruai sebelum berangkat pulang.
Sementara itu, Saarani dalam sembah ucapan beliau berkata, Bunga Kelumpang yang diangkat sebagai motif utama Batik Perak, mempunyai hubungan yang begitu dekat dengan warisan istana.

“Keindahan Bunga Kalumpang telah lama diabadikan pada seni ukiran pintu masuk Balairung Seri Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, selain turut menghiasi persekitaran Galeri Sultan Azlan Shah, yang dahulunya dikenali sebagai Istana Ulu dan pernah menjadi tempat persemayaman tiga Sultan Perak.
“Daripada ukiran yang menghiasi istana, kini keindahan Bunga Kelumpang diterjemahkan pula pada sehelai kain, seakan menyambung sebuah kisah lama dalam karya yang baharu, agar peninggalan seni yang berharga akan terus dikenali dan dihargai oleh generasi yang datang silih berganti,” katanya.
Menurut Saarani, usaha memperkenalkan Batik Perak juga telah mendapat tempat menerusi penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 dan 2026, apabila keindahan motif Bunga Kelumpang diketengahkan melalui demonstrasi seni kraf.
Jelas beliau, Kerajaan Negeri turut meneliti cadangan penggunaan Batik Perak sebagai pakaian rasmi penjawat awam negeri, agar hasil tangan tempatan semakin dikenali dan menjadi sebahagian daripada kebanggaan masyarakat Perak.

Katanya, dalam memperkukuh identitinya, keaslian rekaan Batik Perak turut diberikan perlindungan sewajarnya. Permohonan pendaftaran hak cipta di bawah Akta Hak Cipta 1987 bagi rekaan corak Motif Negeri Perak, Batik Kelumpang, yang dikemukakan pada 16 April 2025 telah memperoleh kelulusan pada 19 Mei tahun yang sama.
“Patik menaruh harapan agar Batik Perak kelak mendapat tempat di hati masyarakat kerana kehalusan seni dan sejarah yang dibawa bersamanya.
“Dengan keunikan motif Bunga Kelumpang, patik percaya Batik Perak mampu menjadi pilihan persalinan anak negeri, membuka pintu rezeki yang lebih luas kepada para pengusaha, malah mengharumkan nama Perak sehingga ke persada antarabangsa,” katanya. – MG Perak


