PADANG RENGAS – Penyertaan PAS dalam Kerajaan Perpaduan mampu menghentikan perseteruan politik selain mengukuhkan perpaduan khususnya di kalangan orang Melayu yang kini dipengaruhi sentimen kaum dan agama yang sempit.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sokongan PAS terhadap kempimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan kejayaan Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, dinamik politik yang berubah-ubah menuntut keperluan berteraskan prestasi dalam memastikan apa jua bentuk sokongan yang ingin diberikan itu harus menjurus ke arah mengukuhkan kestabilan politik dalam negara.
“Kerana bila ada kestabilan politik barulah ia boleh menghasilkan kestabilan ekonomi dan saya secara peribadi mengalu-ngalukan sokongan PAS terhadap kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga pihak-pihak yang lain.
“Ia untuk memastikan bahawa kejayaan ataupun perkhidmatan daripada sudut prestasi dan pencapaian kerajaan di bawah kemudi Perdana Menteri ini dapat terus kita perkemaskan dan perkukuhkan selain penyertaan PAS juga mampu menghentikan perseteruan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Ketika di temui pada Hari Bertemu Komuniti dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Pelajar di Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil berkata, hasrat PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan sekiranya DAP dikeluarkan dari gabungan ini menunjukkan isyarat baik terhadap prestasi kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri.
“Sebenarnya bila disebut PAS mahu sertai kerajaan (Perpaduan) dengan syarat DAP keluar itu maksudnya apa? Maksudnya halangan itu ialah DAP bukan prestasi (Kerajaan Perpaduan).
“Mungkin cara kita baca itu ialah sebenarnya kenyataan Ustaz Haji Hadi (Awang) itu ialah menunjukkan bahawa kerajaan sebenarnya bagus. Masalah PAS ialah dengan DAP itu sahaja,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan akan menjawab mengenai kemungkinan menyertai Kerajaan Perpaduan sekiranya DAP dikeluarkan daripada gabungan berkenaan.
Menurutnya, pendirian itu dibuat kerana perselisihan antara Pas dan Pakatan Harapan (PH) membabitkan soal dasar negara serta Perlembagaan yang menyentuh hak orang Islam. -MG Perak


