Belanjawan Perak 2024: Elaun ketua kampung naik kepada RM300

IPOH – Kerajaan Negeri Perak mengumumkan kenaikan elaun ketua kampung kepada RM300 sebulan bermula tahun hadapan berbanding RM200 pada 2023.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kenaikan berkenaan melibatkan implikasi kewangan bernilai RM1.9 juta kepada kerajaan negeri.

“Sebanyak RM3.7 juta disediakan bagi tujuan pembayaran elaun Pengerusi Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan Kampung India.

“Mulai tahun 2024, kerajaan negeri berbesar hati menambahkan elaun ketua kampung yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri daripada RM200 seorang kepada RM300 seorang pada setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pembentangan Belanjawan Perak 2024 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Jumaat.

Terdahulu pada sesi pembentangan belanjawan Saarani turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM19.3 juta dalam memperkasa pembangunan dan kualiti hidup rakyat khususnya di luar bandar termasuk bayaran elaun kepada ketua kampung.

“Ke arah memperkasa pembangunan dan kualiti hidup rakyat khususnya di luar bandar, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM19.3 juta yang akan disalurkan bagi menampung perbelanjaan berikut.

“RM4.1 juta bagi program serta aktiviti melibatkan 828 Kampung Tradisional yang disalurkan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan RM1 juta bagi aktiviti pembangunan komuniti Orang Asli iaitu tambahan RM0.3 juta berbanding tahun 2023.

“RM1 juta untuk pembangunan desa ke arah pemerkasaan institusi pentadbiran kampung melalui pemantapan kapasiti JPKK meliputi RM500,000 program Jelajah Desaku dan baki RM500,000 lagi bagi Program Pemantapan dan Pemerkasaan Desa,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu juga turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi program Tabarru’ Khairat Kematian serta RM500,000 bagi perkhidmatan pengumpulan data dan pengemaskinian maklumat isi rumah bagi sistem e-Perak. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2024 RM1.35 bilion tertinggi dalam sejarah

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI