Belanjawan Perak 2024: RM3.5 juta perkasa agenda PASAK

IPOH – Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) terus memperkasa agenda transformasi pekerjaan bagi menyokong keperluan permintaan pasaran industri dalam negeri.

Berikutan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.5 juta untuk operasi dan pelaksanaan program PASAK.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mulai tahun 2024, PASAK akan mempelbagaikan program melalui beberapa pendekatan baharu.

Menurutnya, antara programnya adalah penubuhan Jawatankuasa Pekerjaan Wilayah Selatan, kursus jangka pendek bidang automotif dan jalinan kerjasama strategik antara institusi kemahiran dan industri.

“Selain itu juga, pemetaan kerjaya di peringkat sekolah dan job matching di antara graduan, pencari kerja bersama pihak industri serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi golongan belia.

“Justeru, RM5.5 juta diperuntukkan bagi tujuan pelaksanaan TVET,” katanya dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2024 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Jumaat.

Beliau berkata, setakat 15 November lalu, sebanyak 296 program telah dilaksana melibatkan 26,230 anak Perak melalui program kerjaya, TVET, softskill mahupun kerjasama rentas negeri.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,578 individu telah memperolehi pekerjaan dalam usaha untuk meningkatkan kadar penembusan guna tenaga ke dalam industri,” jelasnya.

Katanya, pelaksanaan program yang dijalankan PASAK sejajar dengan aspirasi dan fokus kerajaan negeri di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 untuk membangunkan modal insan yang dinamik bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat melalui peluang pekerjaan, selain komited membangunkan modal insan ke arah satu warga satu skil melalui TVET. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Belanjawan Perak 2024 RM1.35 bilion tertinggi dalam sejarah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI