IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilihat sebak ketika menyentuh soal bencana banjir ketika pembentangan Belanjawan Perak 2026, pada Selasa.
Beliau turut dilihat mengesat air mata dan nada ucapan sedikit perlahan ketika membacakan teks belanjawan yang menyentuh fokus pertama iaitu Kesejahteraan Rakyat.
Saarani berkata, banjir masih menjadi igauan yang tidak pernah padam, terutamanya bagi rakyat di kawasan berisiko.
Kata beliau, walaupun peruntukan dinaikkan dari tahun ke tahun dan pelbagai usaha mitigasi digerakkan, namun masih tetap ada keluarga yang menanggung kesan bencana itu.
“Lalu harta benda yang dikumpul sekian lama musnah sekelip mata, harapan yang digenggam akhirnya luruh begitu sahaja. Setiap kali air melimpah, air mata juga tumpah.
“Tumpah kerana dihambat rasa kecewa, tumpah kerana letih berulang alik ke pusat pemindahan, tumpah kerana diselubungi rasa bimbang entah bila ujian ini benar-benar akan berakhir,” katanya dalam nada sebak.
Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Justeru itu Saarani memaklumkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak menerima pertambahan peruntukan RM5.4 juta bagi belanja mengurus, menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM116.9 juta.
Kata beliau, sementara bagi belanja pembangunan pula, sebanyak RM14.0 juta disediakan kepada JPS bagi pelaksanaan pelbagai projek.
Jelas beliau, ia termasuk Rancangan Tebatan Banjir (RTB), pengurusan sungai dan pantai, saliran pertanian, bangunan dan Infrastruktur serta ‘Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT)’.
Tegas Saarani, peranan JPS Perak perlu diperkukuhkan peranan sebagai pertahanan pertama negeri terhadap risiko banjir.
“Kerajaan negeri menghargai usaha yang telah dijalankan, namun suka saya mengingatkan diri sendiri dan kita semua bahawa rakyat menuntut tindakan yang lebih proaktif dan lebih menyeluruh.
“Langkah pencegahan mesti dipertingkat, mitigasi diperhalus, dan proses pemulihan dipercepat, agar setiap amaran cuaca tidak lagi berubah menjadi detik cemas bagi rakyat di kawasan berisiko,” kata beliau lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2025: MB Perak sebak sentuh isu perumahan rakyat


