Belanjawan Perak 2026: Warga emas, pelancongan antara yang wajar diberi tumpuan

IPOH – Menjelang pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2026 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum hujung tahun ini, pelbagai harapan dan cadangan disuarakan rakyat negeri ini agar belanjawan tersebut benar-benar memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Mereka yang ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak rata-rata mengharapkan supaya belanjawan yang akan dibentangkan mampu menyeimbangkan pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kemampanan sosial.

Penjawat awam, Mohamad Junaidi Ahmad Zawawi, 39, berkata, kerajaan negeri diharap akan memberi perhatian serius terhadap kebajikan warga emas memandangkan Negeri Perak dijangka mencapai status negeri menua menjelang tahun 2030.

Belanjawan Perak 2026 warga emas Perak, pelancongan Perak 2026, peluang pekerjaan belia, Belanjawan Negeri Perak, Saarani Mohamad, ekonomi Perak, Tahun Melawat Malaysia 2026
Penjawat awam, Mohamad Junaidi Ahmad Zawawi, 39.

“Belanjawan kali ini saya harap kerajaan negeri dapat memberi tumpuan kepada golongan warga emas, sama ada dari aspek kempen kesedaran, bantuan kebajikan mahupun penyediaan kemudahan khas.

“Kita tahu masih ada dalam kalangan warga emas yang tercicir dan kurang mendapat perhatian, sedangkan mereka merupakan sebahagian daripada masyarakat yang perlu diberi sokongan,” katanya ketika ditemui, pada Jumaat.

Menurutnya, langkah itu selaras dengan keperluan semasa bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini terus terjamin apabila peratusan warga emas semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, kakitangan swasta, Mohd Zaim Mohd Nasir, 39, pula menyuarakan pandangan agar sektor pelancongan negeri turut diberi peruntukan tambahan, selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Kakitangan swasta, Mohd Zaim Mohd Nasir, 39/

Katanya, perkembangan positif dalam industri pelancongan terutama di Ipoh sejak kebelakangan terutama semasa kempen Tahun Melawat Perak 2024 wajar disokong dengan pembangunan infrastruktur yang lebih baik.

“Saya lihat kita masih berdepan dengan isu kekurangan hotel dan kemudahan awam. Kalau perkara-perkara ini dapat ditambah baik, lebih ramai pelancong dapat ditarik untuk datang ke Perak.

“Tempat-tempat menarik di negeri ini juga boleh ditingkatkan lagi dari segi promosi dan penyelenggaraan supaya terus menjadi tumpuan,” ujarnya.

Gambar hiasan. Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat pertunjukkan bunga api pada program Finale Tahun Melawat Perak 2024 (TMP 2024) di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru.Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 31 DISEMBER 2024.

Katanya lagi, sektor pelancongan bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan negeri malah dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sementara kakitangan swasta, Haekal Qassime Amir, 32, berkata, fokus utama Belanjawan Negeri Perak 2026 wajar ditumpukan kepada usaha memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan, khususnya untuk golongan belia.

Belanjawan Perak 2026 warga emas Perak, pelancongan Perak 2026, peluang pekerjaan belia, Belanjawan Negeri Perak, Saarani Mohamad, ekonomi Perak, Tahun Melawat Malaysia 2026

Katanya, masalah pengangguran yang masih wujud pada sebahagian kumpulan anak muda boleh ditangani sekiranya kerajaan negeri terus memberi penekanan kepada pelaburan serta pembangunan sektor yang mampu menawarkan lebih banyak kerjaya baharu.

Jelas Haekal lagi, belia di Perak juga perlu diberi ruang lebih besar untuk terlibat dalam bidang baharu seperti teknologi, ekonomi digital serta industri kreatif yang kini menjadi pilihan generasi muda.

“Jika peluang pekerjaan di Perak dapat terus ditingkatkan, kita boleh kurangkan kadar pengangguran dan secara tidak langsung dapat mengawal masalah sosial seperti jenayah.

“Pada masa sama, peluang kerja yang lebih luas juga akan membantu merancakkan lagi ekonomi dan pembangunan negeri,” katanya.

Belanjawan Negeri Perak 2026 yang akan dibentangkan Saarani kelak akan menjadi tumpuan seluruh rakyat di negeri ini yang menantikan pengumuman hala tuju serta manfaat yang akan diterima bagi tahun hadapan.- MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI