IPOH – Golongan generasi muda atau belia wajib diberikan tumpuan dan diperkayakan dengan ilmu sekiranya keagungan Islam mahu dijulang, dan martabat bangsa mahu didarjatkan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, golongan belia adalah aset utama dunia yang mampu menjana tenaga dinamik.
Titah baginda, namun ia perlu diempang secara produktif agar ia dapat menjana kuasa yang konstruktif untuk membangunkan masyarakat dan negara.
“Ilmu ialah komponen yang akan membentuk nilai-nilai keperibadian seseorang insan, yang akan mengangkat taraf kehidupan masyarakat, dan yang akan menjulang kemuliaan sesuatu bangsa dan negara.
“Malah ilmu berperanan sebagai perisai paling kukuh untuk melindungi manusia daripada tergelincir akidah kerana terpengaruh dengan tafsiran ulama samaran, atau terpesong fahaman kerana ungkapan kata-kata pemimpin palsu yang bertopengkan agama,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah lagi, pada persidangan Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak pada 25 November lalu, wakil belia telah menyarankan agar masjid di negeri ini dapat menganjurkan pertandingan sukan elektronik atau e-sukan dalam kalangan belia di kariah masing-masing.
Titah baginda, kegiatan sukan maya itu bukan sahaja menjadi trend atau ikutan anak muda ketika ini, malah ia juga merupakan sebahagian daripada acara sukan yang dipertandingkan sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Ibu bapa dan masyarakat seharusnya melihat permainan elektronik secara positif, kerana permainan elektronik sebenarnya boleh meningkatkan pemikiran serta pemikiran strategik dan kritikal.
“Ibu bapa dan pendidik hendaklah berperanan sebagai pemudah cara dan pengimbang, memberikan bimbingan kepada anak muda untuk menguasai kemahiran e-sukan.
‘Tetapi jangan sampai melupakan tanggungjawab terhadap pelajaran, penjagaan kesihatan juga tuntutan fardu ain dan fardu kifayah.
“Amatlah bertepatan agar usul yang disuarakan oleh wakil belia itu, diberikan perhatian sewajarnya dan masjid mengambil daya usaha menganjurkan pertandingan atau latihan, daripada dibiarkan anak muda berkelana bersendirian mengembara alam e-sukan, tanpa batas dan panduan,” titah baginda.
Baginda terdahulu bertitah ketika berangkat ke Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri di Kompleks Islam Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, agar MAIPk dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti institusi Orang Besar Jajahan, Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Yayasan Perak, Majlis Belia Negeri serta Jawatankuasa Masjid.
Titah baginda, ia sebagai usaha untuk mewujudkan rangkaian kerja strategik, dan mengkoordinasi sumber dan tenaga dalam melaksanakan program-program yang lebih inovatif serta sesuai dengan cabaran dan keperluan semasa.
“Lantikan Pengarah Belia dan Sukan Negeri bersama Presiden Majlis Belia Negeri sebagai anggota MAIPk akan berupaya memperkenalkan pelbagai langkah inovasi yang berupaya menarik minat dan meningkatkan penyertaan para belia dalam program-program keagamaan begitu untuk mengimarahkan masjid.
“Program-program kreatif yang dapat menarik minat belia terutama para belia di luar bandar dan di FELDA dan FELCRA akan berperanan sebagai usaha preventif yang dapat melindungi para belia daripada terjerumus dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat,” titah Sultan Nazrin. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Belia aset utama negara, perlu diempang secara produktif – Sultan Perak […]
[…] Belia aset utama negara, perlu diempang secara produktif – Sultan Perak […]