Belia ejen perubahan masa kini, penentu hala tuju negara

KUALA KANGSAR – Golongan belia bukan sekadar pemegang amanah untuk masa depan, sebaliknya mereka adalah ejen perubahan masa kini yang membawa hala tuju negara.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, perubahan besar bermula daripada langkah kecil yang diterapkan melalui pembentukan sahsiah, nilai kebersamaan, integriti dan sifat sukarela sebagai jati diri sebelum belia mengembangkan kemahiran serta ilmu baharu.

“Kemudian dikembangkan dengan kemahiran, ilmu baharu, tingkatkan daya reka cipta dan berinovasi, seterusnya saling menyokong dalam membina jalinan bersama pertubuhan dan komuniti yang positif sesama rakan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Fiesta Rakan Muda x Kibar Peringkat Negeri Perak 2026 di Arena Square, Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Shamsuhaime Basir.

Dalam pada itu, penganjuran Fiesta Rakan Muda menjadi platform bagi membakar semangat anak muda untuk mengekspresikan pelbagai bentuk penyerlahan bakat, keupayaan fizikal dan mental, kreativiti serta minat menerusi aktiviti yang disediakan.

Menurutnya, Rakan Muda bukan sekadar menghimpunkan aktiviti fizikal atau menjadi ruang untuk mengisi masa lapang, sebaliknya merupakan wadah pembangunan belia yang membentuk sahsiah, karakter dan keperibadian unggul dalam kalangan anak muda.

“Rakan Muda adalah satu gerakan jiwa, wadah pembangunan sahsiah dan medan membentuk karakter anak bangsa melalui aspirasi, potensi dan kecenderungan minat dalam kalangan belia dalam membentuk keperibadian yang unggul.

“Selain itu, Rakan Muda turut membentuk kepimpinan yang dinamik, komunikasi yang tepat serta menjadi platform bagi membina jaringan hubungan strategik sesama kita,” ujarnya.

Khairudin berkata, Fiesta Rakan Muda yang berjaya menarik kira-kira 3,000 penyertaan belia dari seluruh Perak turut diterjemahkan menerusi 10 Gaya Hidup Rakan Muda yang memberi peluang kepada belia untuk menyertai pelbagai aktiviti berdasarkan minat dan potensi diri masing-masing.

“Antara pengisian yang disediakan sepanjang program itu termasuk pertandingan doodle art, nasyid, explorace, pushbike, plogging, pesta buku, selain aktiviti mengenali dan mencuba seni warisan Perak serta pelbagai aktiviti menarik lain untuk disertai golongan belia.

“Kita mahu memastikan setiap anak muda tidak kira di mana jua mereka berada, mempunyai tempat untuk menyerlahkan potensi diri.

“Setiap satu daripada gaya hidup ini dirangka untuk melahirkan modal insan yang holistik, berilmu dan berakhlak mulia,”

Katanya, penglibatan yang menggalakkan itu turut memberi ruang kepada pihak berkaitan untuk melihat dan mendengar aspirasi serta harapan belia Perak yang seterusnya akan diberi perhatian oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha membangunkan potensi anak muda negeri ini selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI.

Beliau turut menyeru golongan belia supaya memanfaatkan peluang yang disediakan menerusi program berkenaan untuk menyerlahkan potensi diri dan mengembangkan personaliti sebagai persediaan menghadapi masa depan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Belia diingatkan kawal jejak digital, reputasi dalam talian

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI