IPOH – Menjelang pembentangan Belanjawan Perak 2026, golongan belia di negeri ini berharap kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi digital serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Mereka berpandangan, belanjawan kali ini perlu dirangka dengan lebih inklusif bagi memastikan anak muda tidak hanya bergantung kepada sektor tradisional, sebaliknya mampu menceburi bidang baharu yang selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri semasa.
Pencipta kandungan, Ahmad Faiq Abdul Manan, 28, berkata kerajaan negeri perlu memberi perhatian terhadap potensi ekonomi baharu yang diceburi ramai anak muda seperti pencipta kandungan dan mereka yang memilih untuk bekerja secara bebas (gig).
Menurutnya, pekerja gig termasuk pempengaruh media sosial kini menjadi sebahagian yang menyumbang kepada pembangunan negeri, namun mereka masih memerlukan lebih banyak sokongan daripada kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri perlu beri lebih pendedahan dan kursus percuma kepada pencipta kandungan dalam bidang tertentu seperti makanan dan perkhidmatan supaya mereka tidak berhijrah ke Kuala Lumpur.
“Pada masa sama, kerajaan negeri boleh membantu dalam menyediakan latihan dan bimbingan supaya belia yang menceburi bidang ini berpeluang untuk memperkembangkan perniagaan mereka,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak pada Isnin.
Bagi pegawai tadbir, Muhammad Hanif Mohd Jumah, 23, dia berharap kerajaan negeri dapat memperluas peluang pekerjaan khususnya belia lepasan TVET supaya mereka boleh menggunakan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri semasa.
“Sekarang kita boleh nampak pergerakan daripada agensi kerajaan negeri seperti Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan agensi berkaitan dalam membantu menyediakan peluang pekerjaan khususnya kepada belia.
“Paling penting, peluang pekerjaan yang banyak perlu disediakan untuk golongan belia yang betul-betul memerlukan,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga air, Mohd Hafiz Abd Wahab, 35, berharap kerajaan negeri dapat mencari solusi terbaik bagi memudahkan proses pemilikan rumah pertama untuk golongan muda dan peniaga kecil.
“Saya masih menyewa dan pernah memohon untuk beli rumah, tetapi prosesnya agak rumit. Mungkin kerajaan negeri boleh melonggarkan sedikit syarat bagi membantu peniaga seperti kami,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2026: Warga emas, pelancongan antara yang wajar diberi tumpuan